Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih sokongan kewangan mulai 2027 buat penjaga individu kurang upaya, autisme
Penjaga individu kurang upaya intelektual atau autisme boleh menerima lebih banyak sokongan kewangan mulai 2027, susulan peluasan syarat kelayakan bagi beberapa skim.
Sokongan itu termasuk levi pembantu rumah asing sebanyak $60, berbanding kadar biasa $300, serta Geran Penjagaan di Rumah (HCG) sehingga $600 sebulan bagi membantu menampung kos penjagaan.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan perubahan itu pada persidangan penjagaan sempena ulang tahun ke-50 Home Nursing Foundation pada 4 September, bersama beberapa langkah lain untuk meningkatkan sokongan kepada penjaga yang akan dilaksanakan mulai 2027.
Setakat ini, HCG hanya diberikan kepada penerima penjagaan yang memerlukan bantuan bagi sekurang-kurangnya tiga Kegiatan Kehidupan Harian (ADL), seperti makan, berpakaian dan menggunakan tandas, berdasarkan penilaian profesional.
Namun, sesetengah individu kurang upaya intelektual atau autisme mungkin mampu melakukan ADL tetapi masih memerlukan penjagaan tinggi yang tidak dicerminkan secukupnya dalam penilaian itu, kata Encik Ong.
Syarat kelayakan yang diperluas itu akan mengambil kira keperluan penjagaan golongan ini. Ini melibatkan empat skim: HCG; Konsesi Levi bagi Pembantu Rumah Asing; Geran Latihan Penjaga (CGT); dan Skim Bantuan Orang Kurang Upaya Generasi Perintis (PGDAS).
Bantuan kewangan dan subsidi merupakan perkhidmatan utama yang diperlukan penjaga orang kurang upaya tetapi tidak dapat diperoleh, menurut Kajian Panel Ketidakupayaan dan Inklusiviti (Dips) Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2023.
Ini kerana urusan permohonan yang rumit atau mereka tidak memenuhi syarat kelayakan.
Encik Ong turut mengumumkan lapan tempat sokongan Penjaga (CST) baharu di lima penyedia khidmat penjagaan warga emas di Tiong Bahru-Redhill, Toa Payoh, Bedok, Bukit Panjang dan Yishun, serta tiga Hab Perkhidmatan Pengupayaan (ESH) di Tampines, Punggol dan Jurong.
Encik Ong berkata: “Sama ada insan tersayang mereka warga emas, orang kurang upaya, menghidap demensia, mengalami masalah kesihatan mental atau menghidap penyakit berat, penjaga boleh mengunjungi mana-mana CST dan bertanya: ‘Saya seorang penjaga. Apakah yang perlu saya lakukan?’”
Penjaga boleh mengunjungi mana-mana CST untuk mengenal pasti keperluan, mendapatkan maklumat mengenai sokongan tersedia dan dihubungkan dengan perkhidmatan berkaitan.
Rangka kerja latihan penjaga yang seragam turut dibangunkan bagi menyusun maklumat latihan mengikut keperluan penjaga pada setiap peringkat, supaya mereka tidak perlu mencari latihan daripada pelbagai sumber.
Langkah itu dilaksanakan ketika penjaga di Singapura, yang sebelum ini kurang diberi perhatian berbanding penerima penjagaan, kini semakin diiktiraf sebagai golongan yang juga memerlukan sokongan.
Encik Ong berkata penjaga memainkan peranan penting dan berdepan beban fizikal serta emosi.
Laman web Carers Hub turut dilancarkan pada persidangan di Flower Dome, Gardens by the Bay, bagi memudahkan penjaga mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.
Laman itu menyediakan pasaran untuk menjual, menyumbang atau mendapatkan barangan berkaitan penjagaan, selain membolehkan pertubuhan menawarkan produk dan perkhidmatan.
Mereka boleh menyenaraikan barangan untuk dijual atau disumbangkan, manakala pertubuhan boleh menawarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Penjaga juga boleh memantau kesejahteraan mental melalui catatan emosi harian dan alat menilai keadaan diri, serta meminta bantuan lanjut daripada agensi yang mengambil bahagian.
Kira-kira 500 tetamu menghadiri persidangan itu untuk membincangkan cara Singapura dapat menyokong penjaga dengan lebih baik dalam menghadapi keperluan penjagaan yang semakin pelbagai dan rumit.
