Ramadan ialah waktu bagi keluarga berhimpun dan berbuka puasa bersama, tetapi bagi sesetengah warga tua, bulan mulia ini mungkin dihabiskan seorang diri dan dalam keadaan hiba.
Namun, kehadiran pendamping seperti Cik Sarimah Amat membuat Ramadan terasa kurang sunyi bagi warga tua yang tinggal bersendirian.
Sejak 2020, Cik Sarimah, 57 tahun, bersama sekumpulan relawannya telah mendampingi kira-kira 10 warga emas yang tinggal bersendirian di Yishun Street 71, dengan menjenguk mereka di rumah atau menelefon bertanya khabar.
Ada kalanya, mereka menemani warga tua ini ke janji temu perubatan dan membelikan barang runcit.
Kebanyakan warga tua ini di tahap usia lanjut dan mempunyai masalah kesihatan dan berisiko jatuh, kongsi Cik Sarimah.
Singapura menjadi masyarakat menua pada 2017, dan dijangka mencapai status ‘super-aged’, atau ‘super tua’, pada 2026. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara adalah ‘super tua’ apabila 21 peratus penduduknya berumur 65 tahun dan lebih tua.
Menjelang 2030, satu daripada empat warga di sini akan berumur 65 tahun ke atas, meningkat daripada satu daripada enam sekarang.
Cik Sarimah, pengasas Project Pencil, berkata mendampingi golongan warga emas ini dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
“Warga tua yang tinggal bersendirian ini mengalami kekosongan dalam diri mereka. Mereka rasa keseorangan. Jadi, apa yang mereka perlukan adalah seorang teman,” kata beliau, sambil menambah bahawa kebanyakan golongan ini tidak kuat berjalan dan ada yang memerlukan kerusi roda.
Justeru, mereka lebih kerap duduk di rumah dan tidak melakukan aktiviti yang mengaktifkan tubuh dan minda.
“Ini akan mempercepatkan proses penuaan dan menjejas kesihatan mereka. Jika saya tidak ke rumah mereka, saya akan cuba telefon seminggu sekali. Itu pun mereka sudah gembira,” ujar Cik Sarimah.
Selain usaha peribadinya, Project Pencil, sebuah pertubuhan tidak mencari untung (NPO) yang menyediakan bimbingan selepas sekolah bagi kanak-kanak kurang bernasib baik, juga menganjurkan beberapa inisiatif sepanjang Ramadan bagi benefisiari lanjut usia mereka.
Ini termasuk memberi bahan makanan untuk menyediakan sahur dan pengagihan habuan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Lebih banyak usaha turut dijalankan bagi memastikan warga tua yang hidup berdikari tidak kesunyian.
Cik Zulayqha Zulkifli, pengasas bersama Project Hills, NPO yang membantu penduduk susah di Queenstown, berkata jumlah inisiatif untuk menyokong warga tua yang tinggal bersendirian telah meningkat dan ia “tidak pelik”.
“Kita telah melihat lebih banyak usaha di kalangan agensi perkhidmatan sosial, badan pemerintah dan kumpulan masyarakat. Malah, terdapat lebih banyak program berasaskan bukti atau disusun sesuai untuk warga emas,” kongsinya.
Di Pusat Penuaan Aktif (AAC) @ Bedok di bawah badan amal Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC), iftar masyarakat – dengan warga tua menyiapkan juadah yang dibawa, atau ‘potluck’, untuk berbuka puasa – dianjurkan setiap Jumaat.
Inisiatif itu dibangunkan oleh warga tua di pusat tersebut dan telah disertai 20 orang.
“Memandangkan beberapa warga emas tinggal bersendirian, mereka tidak sabar untuk berbuka puasa bersama rakan dan jiran mereka, memupuk hubungan yang lebih erat dalam kawasan kejiranan mereka,” kata Cik Siti Aishah Mohd Yunus, pengurus pusat AAC @ Bedok THK.
THKMC juga menawarkan warga tua ‘pekerjaan mikro’ di pusat penuaan aktifnya. Tugas mereka termasuk menganjurkan aktiviti dan menghantar makanan kepada warga tua dan memberi khidmat peringatan untuk mengambil ubat bagi mereka yang hidup berdikari.
Lions Befrienders, sebuah agensi perkhidmatan sosial, pula meningkatkan kekerapan pasukannya bertanya khabar pada warga emas yang dikenal pasti tinggal keseorangan pada Ramadan di samping mengagihkan makanan iftar.
Agensi itu juga bakal mengelolakan kegiatan seperti membuat sampul duit Hari Raya dan sesi karaoke untuk membawa keceriaan Aidilfitri kepada golongan ini.
Pengerusi Lions Befrienders, Encik Alex Lim, berkata:
“Populasi yang cepat menua, globalisasi warga dewasa yang ingin berpendapatan dan berstatus tinggi, waktu tugas panjang dan beban kerja yang bertimbun, dan kehidupan sekolah yang lebih sukar, kami melihat peningkatan dalam kalangan warga emas yang bersendirian.”
Buat masa ini, Lions Befrienders mempunyai 130 kakitangan tetap dan 40 pekerja kontrak, sambilan dan pelatih dalam 10 AAC dan pelbagai programnya, yang berkhidmat kepada 12,000 warga emas. Seorang relawan warga tua mereka pula mendekati kira-kira 40 warga emas lain di beberapa kawasan.
Secara idealnya, nisbah sokongan hendaklah seorang relawan warga tua kepada 10 warga emas, tambah Encik Lim.
Menurut Kementerian Kesihatan, terdapat 79,000 penduduk Singapura berusia 65 tahun dan ke atas yang tinggal sendirian pada 2022 – naik daripada 58,000 warga tua pada 2018. Bilangan itu dijangka terus meningkat ketika populasi Singapura menua dan saiz purata isi rumah mengecil.
Meskipun terdapat lebih banyak usaha masyarakat untuk menyokong warga tua, mendampingi mereka kekal menimbulkan cabaran, kata Anggota Parlimen (AP) yang dihubungi Berita Harian (BH).
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata bilangan meningkat warga tua yang hidup berdikari menggariskan keperluan untuk lebih ramai pendamping relawan.
“Salah satu cabaran mendapatkan pendamping adalah memadankan ketersediaan relawan dengan keperluan warga emas,” kongsi beliau, sambil memberi contoh halangan bahasa.
“Bagaimanapun, kami terus mengusahakan huraian inovatif dan usaha khidmat masyarakat untuk menarik dan mengekalkan relawan supaya mereka boleh membuat perubahan bermakna dalam kehidupan warga emas kami,” tambahnya.
AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, berpendapat bahawa jiran tetangga sesuai menjadi pendamping untuk golongan ini.
“Jika semua penduduk di sebuah blok adalah warga tua, berapa ramai pendamping yang kita diperlukan? Jadi, jiran adalah penting. Mereka adalah pendamping yang terbaik,” katanya.
Beliau juga menggesa warga Singapura mengambil langkah kecil dalam masyarakat bagi menyokong warga tua yang tinggal sendirian.
“Kita tidak perlu memikir terlalu jauh, kita boleh mula secara kecil-kecilan dengan mendampingi warga emas yang tinggal di sekeliling kita,” ujarnya lagi. – Laporan tambahan BATRISYIA BAHARIM
“
“...Kami terus mengusahakan huraian inovatif dan usaha khidmat masyarakat untuk menarik dan mengekalkan relawan supaya mereka boleh membuat perubahan bermakna dalam kehidupan warga emas kami.”“
“Jika semua penduduk di sebuah blok adalah warga tua, berapa ramai pendamping yang kita diperlukan? Jadi, jiran adalah penting. Mereka adalah pendamping yang terbaik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg