Menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya bagi seorang wanita. Ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa.
Namun, bagi Leftenan Muda (2LT) Zakiah Huda Sapari, 25 tahun, cabaran tersebut dihadapinya dengan penuh kecekalan demi memenuhi impian arwah abangnya.
Keberanian dan semangat juangnya kini menyaksikannya mencipta sejarah apabila beliau menjadi pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF untuk memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet.
Perbarisan yang diadakan pada 7 September di Institut Tentera Safti itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Pada perbarisan tersebut, 2LT Zakiah ditauliahkan sebagai komander platun dan bertanggungjawab untuk melatih dan memimpin sekitar 30 Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dari Batalion ketiga, Unit Pengawal Singapura (Singapore Guards).
Pegawai tentera yang belum berumah tangga ini adalah di antara 196 kadet yang ditauliahkan sebagai pegawai SAF selepas menamatkan latihan 38 minggu di OCS.
Beliau, yang berkelulusan diploma dalam sains kesihatan (kejururawatan) dari Politeknik Ngee Ann, sebelum ini bekerja sepenuh masa sebagai seorang jururawat di sebuah hospital di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), telah menukar kerjaya kepada pegawai tentera sepenuh masa sejak September 2023.
Keputusannya itu didorong oleh arwah abang sulungnya, Allahyarham Zaki Sapari, yang meninggal dunia pada usia 22 tahun akibat nahas motosikal pada Februari 2014 ketika masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Menurut 2LT Zakiah, Allahyarham Zaki merupakan seorang pelari lompat pagar negara yang pernah mewakili Singapura di Sukan SEA 2011 di Jakarta/Palembang, Indonesia, dan terpaksa mengetepikan impian beraksi di Sukan SEA di Myanmar (2013) kerana menjalani NS.
“Beliau adalah seorang askar yang sangat berdedikasi. Beliau benar-benar memberikan segalanya kepada tentera, bahkan memenangi anugerah semasa beliau seorang kadet.
“Allahyarham juga pernah memenangi anugerah latihan fizikal terbaik serta merupakan antara kadet terbaik dalam pasukannya,” katanya yang turut menambah Allahyarham mempamerkan prestasi cemerlang di Sekolah Kadet Spesialis (SCS) dan berharap untuk menyertai OCS.
2LT Zakiah mula terlibat dalam SAF dengan menyertai Kor Relawan SAF (SAFVC) pada Mac 2023 sebagai seorang anggota perubatan, dan kini bertekad untuk meneruskan impian abangnya.
Beliau, yang ketika itu masih bekerja sebagai seorang jururawat, kemudian membuat keputusan untuk sign on sebagai seorang pegawai di OCS pada September 2023.
2LT Zakiah kini mencipta sejarah dengan menjadi wanita Melayu pertama dari OCS yang dipilih untuk memimpin perbarisan pentauliahan.
Namun, kejayaan ini tidak datang dengan mudah, dengan beliau perlu menghadapi cabaran fizikal dan emosi sepanjang latihan 38 minggu di OCS.
Berkongsi pengalamannya kepada Berita Harian (BH), menjadi sebahagian daripada OCS telah membawanya menempuh pelbagai cabaran, termasuk pemergian arwah neneknya pada April 2024 di mana beliau membuat keputusan untuk book in sehari selepas pemergian neneknya.
“Komander saya ada menawarkan saya cuti belas kasihan tetapi saya tidak mengambil cuti kerana saya tahu bahawa beliau (nenek saya) mahu saya untuk pergi dan tidak menghabiskan masa menangis,” ujar beliau yang mempunyai hubungan rapat dengan neneknya.
Sebagai seorang jururawat, beliau sering menjaga neneknya yang menghidap dementia dan membantu dalam mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit itu.
Tambahan dari itu, minggu tersebut merupakan antara latihan ‘outfield’ yang paling sukar dalam kursus pegawai kadetnya.
“Tetapi pada penghujung hari, saya sedar saya tetap perlu melaluinya dan akhirnya berjaya memecahkan had baru semasa ‘outfield’.
“Saya tidak sedar bahawa saya boleh menjadi sekuat itu dan itulah bagaimana kursus Pegawai Kadet dapat membentuk diri saya sekarang ini,” ujarnya yang juga mendapat dorongan teman sepasukannya untuk mengatasi cabaran tersebut.
Walaupun merupakan seorang wanita dalam dunia tentera yang sering dikuasai lelaki, 2LT Zakiah menegaskan bahawa beliau tidak diberi layanan berbeza.
“Prinsip asas kepimpinan dan kerja berpasukan sama bagi lelaki dan wanita.
“Sama ada anda seorang wanita atau lelaki, selagi anda memenuhi piawaian yang diperlukan, itu adalah perkara yang paling penting. Kami semua diberi layanan yang sama rata,” katanya.
Beliau menasihati bagi yang berminat untuk memulakan kerjaya di SAF untuk “sambutlah peluang ini dengan hati yang terbuka dan semangat yang teguh.”
“Anda akan melalui perjalanan yang akan membentuk watak dan menyemarakkan aspirasi anda, maka berbanggalah,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg