Pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menerima bayaran bonus wang tunai tetap lebih tinggi berkait pencapaian mereka semasa peringkat awal kerjaya.
Mereka juga akan menerima caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) penuh, yang akan disalur terus ke dalam akaun CPF mereka.
Demikian antara perubahan di bawah Pelan Simpanan dan Persaraan Pekerja (Saver) berikutan semakan baru-baru ini yang dilakukan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan SAF.
Menurut kenyataan Mindef pada 6 September, satu lagi perubahan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, ialah tempoh dan kadar caruman ke dalam akaun persaraan pegawai akan dinaikkan.
Ini bermakna mereka akan menerima jumlah tambahan semasa bersara untuk menyokong peralihan mereka kepada kerjaya seterusnya dengan lebih baik.
Pelan Saver telah diperkenalkan pada 1998 buat pegawai SAF, yang menggantikan skim pencen, kontrak dan CPF Plus. Wang yang digunakan untuk membiayai skim itu telah disalurkan untuk membiayai Pelan Saver.
Dengan Pelan Saver yang dipertingkat itu, pegawai SAF berumur antara 25 dengan 34 tahun akan menerima bayaran Bonus Saver secara tunai bagi setiap tiga tahun perkhidmatan yang akan menggantikan Akaun Simpanan dan pembayaran Bonus Saver sedia ada.
Ini akan menyokong keperluan pegawai seperti perkahwinan dan tempat tinggal pada tempoh kehidupan waktu itu dengan lebih baik, kata Mindef.
Mindef menambah bahawa pegawai SAF juga akan menerima caruman CPF majikan dan pekerja yang penuh, mengikut kadar caruman CPF nasional semasa.
Justeru, ia akan membolehkan mereka mengumpul lebih banyak dana CPF lebih awal dalam kerjaya mereka, untuk menyokong keperluan perumahan dan penjagaan kesihatan mereka dengan lebih baik.
“Dengan langkah ke arah caruman CPF penuh, Akaun Tambah Nilai CPF yang sedia ada akan ditiadakan secara berperingkat,” ujar Mindef.
Caruman ke dalam Akaun Persaraan (RA) bagi pegawai SAF juga akan bermula dari tahun pertama perkhidmatan mereka pada kadar tahunan yang meningkat, dan bukannya pada tahun ketujuh perkhidmatan mereka di bawah pelan Saver sebelumnya.
Mindef berkata: “Tempoh dan kadar sumbangan yang meningkat akan membantu pegawai kami membina rizab lebih besar untuk peralihan kerjaya mereka selepas bersara daripada SAF.
“Akaun Persaraan sedia ada mereka akan dinamakan semula sebagai Akaun Saver.”
Dengan pelan Saver yang dipertingkatkan, pegawai baru yang memulakan kerjaya mereka dengan SAF akan menikmati purata 40 peratus peningkatan dalam manfaat Saver mereka, dan dapat mengumpul gaji yang nilainya kira-kira tiga tahun apabila mereka bersara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg