Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Pemerintah akan terus sokong kumpulan kariah

Turut beri penghargaan kepada mantan pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla’udin Mohamed
Mar 6, 2025 | 8:45 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kiri) dan Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin (dua dari kiri), beramah mesra dengan anggota kariah sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa bagi menghargai kumpulan kariah di auditorium Masjid Khalid pada 6 Mac.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kiri) dan Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin (dua dari kiri), beramah mesra dengan anggota kariah sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa bagi menghargai kumpulan kariah di auditorium Masjid Khalid pada 6 Mac. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemerintah akan terus menyokong inisiatif daripada akar umbi seperti kumpulan kariah dalam peranan mereka membina keseimbangan kepercayaan dan keyakinan antara masyarakat.

Demikian dinyatakan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam majlis berbuka puasa bagi menghargai kumpulan kariah di auditorium Masjid Khalid pada 6 Mac.

Berucap kepada pemimpin kumpulan kariah yang hadir, Encik Shanmugam berkata:

“Ramai di antara anda bekerja tanpa mengenal penat. Anda semua bekerja secara senyap di belakang tabir bagi memastikan penduduk mendapat akses mudah ke ruang solat yang selesa. Anda berhubung dengan anggota masyarakat di luar masjid, membantu golongan yang memerlukan.”

“Dan anda pun tahu pemerintah menyokong inisiatif daripada akar umbi dan akan memberikannya sokongan penuh. Maka itu, teruskan usaha membina ikatan berdasarkan kepercayaan dan keyakinan antara masyarakat dengan kumpulan etnik.”

Diadakan di Joo Chiat Road, majlis berbuka puasa anjuran Masjid Khalid itu turut dihadiri kumpulan kariah, dan beberapa Anggota Parlimen (AP) lain termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman; pengurusan kanan Muis dan Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin.

Encik Shanmugam memuji peranan yang dimainkan kumpulan kariah dalam masyarakat, semasa menyertai majlis berbuka tersebut sambil beramah mesra. Sekitar 150 orang yang hadir.

Diadakan sejak 2023, majlis berbuka puasa itu merupakan inisiatif mantan pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla’udin Mohamed, untuk menghimpunkan pemimpin kariah dan menghargai sumbangan mereka dalam mengukuhkan perpaduan serta semangat sukarelawan dalam masyarakat.

Pada 2025, buat kali pertama sejak acara itu dimulakan, ia berlangsung tanpa kehadiran Allahyarham, namun legasi yang ditinggalkannya terus dihargai dan diteruskan.

Encik Shanmugam turut berkongsi hubungan beliau dengan Allahyarham, individu yang beliau sifatkan sebagai “seorang sahabat karib dan pemimpin masyarakat yang luar biasa”.

“Allahyarham sangat rendah hati, tidak menonjolkan diri, tetapi melalui tingkah lakunya, Allahyarham menunjukkan kepimpinan yang menyentuh dan menaikkan semangat ribuan keluarga,” kongsi beliau.

Mengulas tentang pentingnya memastikan kesinambungan inisiatif itu yang dimulakan Allahyarham Alla’udin, yang meninggal dunia dalam usia 71 tahun, pada 14 November, Dr Ariffin berkata:

“Ia adalah sesuatu yang agak baru apabila majlis berbuka puasa menghargai kumpulan kariah ini diperkenalkan.

“Kami akan teruskan usaha ini, di samping mengadakan sesi perkongsian dengan pertubuhan keagamaan lain untuk berbincang tentang Ramadan dan kepentingan berpuasa.”

Pengerusi kumpulan kariah Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), Encik Mohamed Said Ali, yang hadir pada majlis berbuka puasa itu, berkongsi bahawa acara sebegitu membolehkan kumpulan kariah mengeratkan hubungan sesama mereka dalam memperkukuh perpaduan agama dan sosial dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Sebagai kumpulan kariah, peranan kami adalah untuk mengajak lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam agar dapat bersama beribadah sambil mengenali jiran tetangga.

“Saya rasa Encik Shanmugam sangat prihatin dan menyokong usaha kariah, terutama dalam memastikan kemudahan ibadah tersedia untuk golongan senja dan mereka yang kurang upaya.

“Beliau juga mahu kerjasama ini diteruskan oleh generasi akan datang agar semangat perpaduan dalam masyarakat terus kukuh,” kongsi beliau.

Encik Shanmugam juga mengetengahkan kes radikalisasi yang telah berlaku sejak beberapa bulan lalu sambil menekankan bahawa ia merupakan ancaman serius terhadap keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.

“Ia satu kerosakan serius kepada keharmonian antara agama kami, jadi kita perlu terus kekal berwaspada, mendidik anak-anak muda kita,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, adalah penting bagi kita berbincang dengan anak-anak muda kita, memberi mereka panduan yang betul, dan benar-benar mewujudkan ruang yang selamat untuk berdialog dan meningkatkan pemahaman supaya mereka tidak terjebak dan menjadi radikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg