Dulu, sebelum adanya gim atau studio moden, anak-anak muda Melayu belajar silat di lantai yang keras tanpa alas, diterangi hanya oleh cahaya bulan atau lampu dari rumah sekeliling.
Mengimbau kembali detik-detik berlatih di padang atau gelanggang bola keranjang, Encik Abdullah Hussain, kini berusia 73 tahun, masih mengingati masa berlatih di kawasan Tanjung Rhu dengan jelas.
“Zaman dulu, kami berlatih di padang atau gelanggang bola keranjang.
“Kalau hujan, tak kira berlumpur atau tidak, kami masih teruskan latihan dan hanya bergantung kepada keterangan bulan bersama sinaran lampu rumah-rumah orang,” singkap Encik Abdullah kepada wartawan Berita Minggu (BM).
Beliau mula mempelajari Silat Seni Gayong ketika masih remaja di Tanjong Rhu pada 1966.
Sebelum itu, beliau belajar judo, seni mempertahankan diri moden dari Jepun, tetapi melihat kawan-kawan belajar Silat Seni Gayong, ia juga mencetus minat dalam dirinya.
Minatnya terhadap seni itu bukan sahaja kerana gerak langkah atau teknik mempertahankan diri, malah, kerana nilai budaya yang dibawanya.
“Silat ini bukan tentang tendang atau pukul. Ia tentang maruah, disiplin dan akar kita sebagai orang Melayu,” kata bapa seorang anak dan datuk tiga cucu itu.
“Setiap minggu kami berlatih, kadang-kadang atas rumput yang basah selepas hujan.
“Kalau jatuh, masuk lumpur. Tapi dari situ kita belajar tahan lasak,” tambah Encik Abdullah yang merupakan antara guru awal Silat Seni Gayong Perkumpulan Anak-Anak Sandiwara Angkatan Kesenian (Pasak), kumpulan silat yang ditubuhkan pada 1963 dan telah dibubarkan pada 2020.
Silat Seni Gayong, diasaskan oleh Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, seorang tokoh silat tersohor dari Perak, Malaysia.
Sejarah Silat Seni Gayong bermula di Singapura apabila ia mula diajar di Pulau Sudong pada 1942, semasa penghujung zaman penjajahan Jepun, apabila Datuk Meor, berpindah ke Singapura.
Pulau Sudong ketika itu masih dihuni dan kini berfungsi sebagai kawasan ketenteraan.
Selain memupuk kemahiran mempertahankan diri, seni itu juga menekankan kemahiran fizikal, bahkan prinsip adat, hormat kepada guru, dan pembentukan peribadi yang jati, kongsi Encik Abdullah.
Apabila ditanya mengapa mungkin silat seni ini dinamakan Gayong, Encik Abdullah akur bahawa beliau juga baru-baru ini menimba ilmu dan mengetahui bahawa sebelum pendekar Hang Tuah, terdapat seseorang Laksamana bernama Gayong.
Meskipun begitu, Encik Abdullah mengongsi bahawa huruf jawi perkataan Gayong dieja dengan huruf ‘ge’, ‘alif’, ‘ya’, ‘wau’ dan ‘nge’.
Setiap huruf ada maknanya sebagai peringatan serta pendirian dalam mempelajari Silat Seni Gayong.
‘Ge’ ialah gagah atau genggam, ‘alif’ pula melambangkan angkatan dan bersatu padu. ‘Ya’ ialah yakin kepada diri dan Allah, ‘wau’ adalah waras dalam membuat keputusan dan ‘nge’ untuk ngeri dari segi semangat dan kesungguhan.
“Inilah nilai yang diturunkan dan diajarkan, serta keindahan keaslian Bahasa Melayu dan persenian ini juga.
“Kita diajar makna huruf-huruf ini, sebagai simbol ilmu, asal usul dan identiti kita,” ujar Encik Abdullah yang juga merupakan presiden bagi kumpulan Silat Seni Gayong Naga Bura Singapura, kumpulan yang ditubuhkan pada Ogos 2024.
Kini, legasi itu diteruskan oleh generasi pelapis seperti Dr Saiful Nizam Subari, seorang doktor keluarga yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Silat Seni Gayong Naga Bura.
Beliau mula berjinak-jinak dengan Silat Seni Gayong pada 1994 di Buona Vista, dan sejak itu, kesenian warisan itu menjadi sebahagian daripada jati dirinya sebagai anak Melayu di tanah air sendiri.
“Silat ini bukan hanya tentang mempertahankan diri di gelanggang. Ia mendidik saya untuk menjadi seorang yang tabah, setia dan tidak mudah mengalah dalam kehidupan,” ujar bapa kepada tiga anak itu kepada BM.
Dr Saiful turut berkongsi bahawa generasi kini memerlukan pendekatan baru dalam memahami silat. Mereka ingin mengetahui lebih tentang kisah, sejarah dan nilai di sebaliknya.
Beliau percaya warisan ini akan kekal relevan jika dikaitkan dengan sejarah pulau, nilai kepahlawanan dan dimodenkan melalui seni persembahan serta teknologi.
“Harapan saya agar Gayong dikenali bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri, bahkan juga sebagai warisan budaya yang diasaskan di Pulau Sudong.
“Kita perlu memperingati asal usulnya, sama ada melalui pusat warisan, pameran tetap, atau pengiktirafan nasional.
“Saya berharap Silat Seni Gayong terus hidup dan menjadi kebanggaan negara,” ujar Dr Saiful.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg