Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Cina tak pernah rasa terpinggir tinggal di Pulau Semakau

Jun 29, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Pulau Semakau, penduduk Cina
Encik Zainal Chia mendirikan rumah tangga bersama Cik Maimah Dron ketika mereka tinggal di Pulau Semakau pada 1975. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Warna kulitnya sawo matang bagai sudah lama berjemur di bawah mentari.

Lidahnya pula tidak kelu bertutur bahasa Melayu.

Sekilas pandang, sukar percaya bahawa Encik Chia Meng Keow berbangsa Cina.

Namun jika diselidik lanjut, tidak hairanlah mengapa pesara berusia 73 tahun itu seolah-olah ada darah Melayu yang mengalir dalam dirinya – beliau lahir dan membesar dalam kampung majoriti Melayu di Pulau Semakau.

Beliau, yang lebih dikenali dengan nama Melayunya, Zainal Chia, setelah memeluk Islam, berkongsi bahawa tidak ada perbezaan sedikit pun yang dirasakannya.

Bahkan, orang kampung kongsi identiti sama, sehati sejiwa, sebagai orang Semakau.

“Kalau orang Cina tak ramai, dalam 10 hingga 12 buah rumah berbanding 100 (rumah) Melayu. Tapi kita tak ada masalah tinggal bersama.

“Cina ke, Melayu ke, kami ibarat keluarga.

“Kalau musim Raya, orang kampung hantar kuih, hantar apa segala benda ke rumah kami, kami pun turut serta dalam perayaan,” ujar Encik Zainal yang ingatannya tampak kuat lagi.

Malah, beliau tidak tahu menahu tentang kejadian rusuhan kaum yang menyaksikan orang Cina bergaduh dengan orang Melayu di Singapura memandangkan mereka di pulau hidup aman belaka.

Walaupun tidak begitu pasti tentang asal usul nenek moyangnya, beliau berkata ibu bapanya datang dari China.

Sementara Encik Zainal bertutur dengan bahasa Melayu bersama lima adik-beradiknya yang lain, beliau tetap berbahasa Toechew bersama ibunya.

Semasa menuntut di Sekolah Menengah Yusof Ishak – sebuah sekolah Melayu – hati Encik Zainal terbuka memeluk agama Islam setelah menghadiri kelas asas agama yang beliau “tidak pernah ponteng”.

Menyingkap pengalaman mencuit hati semasa ingin ke sekolah yang terletak di tanah besar Singapura, Encik Zainal menyifatkan perjalanannya untuk ke sekolah sebagai “seksa”.

“Bangun pukul 4.30 pagi. Kami perlu kayuh sampan dalam 5 pagi ke pulau Bukom, kemudian naik feri yang bertolak pada 6.15 pagi untuk sampai ke Jardine Steps (kini dinamakan HarbourFront) di Singapura.

“Dulu kita asyik doa hujan saja. Bukan doa cuaca baik, doa cuaca tak baik jadi tak perlu ke sekolah!” selorohnya.

Pada 1975, Encik Zainal mendirikan rumah tangga bersama Cik Maimah Dron, 74 tahun, yang juga menetap di Pulau Semakau setelah berpindah dari Pulau Bukom Kecil.

Majlis perkahwinan mereka bukan sahaja meraikan adat Melayu seperti bertandang, bahkan juga adat Cina iaitu upacara minum teh.

Kini, pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan dan menetap di Telok Blangah setelah diminta berpindah keluar dari Pulau Semakau pada 1976.

Tidak dinafikan, perasaan rindu tidak pernah pudar dalam jiwa pasangan itu yang membesar di tepi pantai, jauh daripada kesibukan bandar.

Sekarang, Pulau Semakau menjadi tempat pembuangan sampah yang penting dalam proses pengurusan sisa Singapura.

“Sungguhpun tempat sampah, saya bangga pulau itu semakin cantik. Sekurang-kurangnya, mereka buang sampah yang bukan berbau, ia sudah diproses. Cuma sayangnya belum ada peluang untuk kami kembali ke sana,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg