Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki 24 tahun didakwa cederakan mangsa guna pisau tembikai

Dec 26, 2024 | 6:06 PM
Suspek ditahan pada 24 Disember di sebuah unit kediaman di Keat Hong Close selepas kejadian yang didakwa berlaku di Restoran Al Mubin di  Jalan Besar sekitar 3.30 pagi.
Suspek ditahan pada 24 Disember di sebuah unit kediaman di Keat Hong Close selepas kejadian yang didakwa berlaku di Restoran Al Mubin di Jalan Besar sekitar 3.30 pagi. - Foto SPF, GOOGLE MAPS

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang berada di bawah arahan pengurangan hukuman, didakwa menggunakan pisau tembikai bagi mencederakan seorang lelaki lain pada dinihari menjelang Krismas.

Mohammad Faris Mohammad Fadzir dikenakan satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah secara sukarela pada 26 Disember, selepas dia didakwa menggunakan pisau tersebut untuk mencederakan ibu jari kiri Encik Mohammad Noor Shalifie Salimi.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di Restoran Al Mubin di 33 Jalan Besar sekitar 3.30 pagi, lapor The Straits Times.

Mangsa, 25 tahun, mengalami luka dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu saling mengenali dan mempunyai perselisihan sebelum ini.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Faris didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa berada di bawah arahan pengurangan hukuman dari 8 Oktober 2024 hingga 15 Oktober 2025, dan dia perlu mengelakkan diri daripada mencetuskan masalah sepanjang tempoh tersebut.

Jika disabit kesalahan dan dihukum kerana menyebabkan kecederaan parah secara sukarela, Faris mungkin perlu menghabiskan 296 hari lagi di penjara kerana didakwa melanggar arahan pengurangan hukuman itu.

Menurut polis, Faris melarikan diri dari tempat kejadian selepas serangan tersebut.

Anggota polis dari Divisyen Polis Tengah kemudian mengenal pasti identitinya dan memberkas Faris di sebuah unit kediaman di Keat Hong Close.

Semasa penangkapannya, seorang wanita berusia 19 tahun turut ditangkap kerana melindungi pesalah.

Kes Faris akan dibicarakan pada 2 Januari.

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya, pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun.

Dia juga boleh dikenakan denda atau disebat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg