Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan pisau di Hougang: Wanita maut, dua lagi termasuk suspek cedera

Dec 10, 2024 | 5:31 PM
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) membawa dua orang ke Hospital Changi dan seorang lagi ke Hospital Sengkang.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) membawa dua orang ke Hospital Changi dan seorang lagi ke Hospital Sengkang. - Foto ZAOBAO

Seorang wanita maut dan dua yang lain, termasuk penyerang yang disyaki, cedera dalam insiden serangan pisau di Hougang pada 10 Disember.

Wanita berusia 34 tahun, yang dipercayai pekerja di kedai perkakasan tempat dia diserang, cedera parah semasa serangan dan ditemui dengan kesan tikaman.

Seorang lelaki telah ditangkap selepas serangan pisau di sebuah kedai perkakasan. Pengurus kedai tersebut mengalami luka. 

Penyerang, yang dipercayai seorang penghantar, turut cedera dalam kejadian yang berlaku di Blok 210, Hougang Street 21.

Jeritan seorang wanita kedengaran pada 10 Disember sekitar 11 pagi di kedai perkakasan Quan Long Nippon Paint, yang terletak bersebelahan Pasar Kovan dan Pusat Makanan, sejurus sebelum kejadian.

Saksi di tempat kejadian berkata penyerang, yang kerap membuat penghantaran ke kedai perkakasan itu, mengeluarkan pisau dan menyerang wanita tersebut, yang cuba melarikan diri namun tidak berjaya.

Pengurus kedai cuba membantu dan bergelut dengan penyerang, namun turut cedera dalam proses tersebut. Menurut saksi, mangsa wanita tersebut mengalami beberapa luka di belakangnya. 

Penyerang itu turut cedera dalam kejadian.

Menurut saksi, paramedik tiba di lokasi beberapa minit kemudian, sementara polis bersenjata lengkap segera mengawal kawasan tersebut. 

Ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital, dengan penyerang diiringi pegawai polis. 

Apabila The Straits Times (ST) tiba sekitar 2 petang, polis telah mengepung kedai perkakasan serta gerai buah dan kedai emas yang bersebelahan.

Seorang wanita berusia 60-an yang bekerja di sebuah kedai serbaneka berhampiran berkata beliau terdengar pertengkaran sebelum kejadian tersebut. 

“Kami kemudian terdengar jeritan seorang wanita, dan beberapa orang pergi untuk melihat apa yang berlaku,” kata wanita itu, yang enggan namanya didedahkan. 

“Mereka segera kembali dan beritahu semua orang supaya bersembunyi di kedai kerana ada lelaki dengan pisau.”

Wanita itu berkata kakitangan dan beberapa pelanggan kedai serbaneka tersebut kemudian bersembunyi di dalam kedai sehingga polis tiba. 

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka membawa dua orang ke Hospital Changi dan seorang lagi ke Hospital Sengkang selepas menerima panggilan meminta bantuan pada 11.05 pagi. 

Penyerang berkenaan diiringi oleh pegawai polis.

Wanita itu meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg