Seorang lelaki yang didakwa menyerang lelaki lain dengan pisau jenis Swiss Army di kolong Blok 214, Marsiling Lane, telah dikenakan tuduhan melakukan serangan pada 24 Disember.
Muhammad Aiman Mohamed Rupie, 21 tahun, dikatakan telah mengelar mangsa berusia 25 tahun pada sekitar 10.30 malam, pada 22 Disember.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan sebab di sebalik serangan yang didakwa itu.
Namun, dalam hantaran Facebook pada 23 Disember, pengguna media sosial, Encik Daniel Redha, mendakwa bagaimana adiknya yang bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood diserang pada malam sebelumnya (22 Disember) di Marsiling selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang pelanggan.
Menurut Encik Daniel, perselisihan itu berpunca daripada isu pembayaran, lapor The Straits Times.
Polis dalam satu kenyataan berkata pegawai mereka telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 10.35 malam, 22 Disember.
Muhammad Aiman ditangkap tidak lama selepas itu dan kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 14 Januari 2025.
Sekiranya disabit kesalahan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata secara sukarela, pesalah boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda, disebat, atau dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg