Lelaki 27 tahun maut di kapal persiaran; polis tidak syak jenayah
Lelaki 27 tahun maut di kapal persiaran; polis tidak syak jenayah
Seorang lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia di atas sebuah kapal persiaran yang berlabuh di perairan Singapura pada 19 Januari.
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), polis berkata mereka menerima panggilan bantuan di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay (MBCC) sekitar 6.35 pagi.
Polis memaklumkan lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri di atas kapal itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor kapal.
Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah disyaki, dan siasatan masih diteruskan.
Identiti lelaki itu, sama ada warga Singapura atau pelancong, belum dapat dipastikan.
Kapal persiaran yang terlibat dipercayai ialah Ovation of the Seas milik Royal Caribbean, yang sedang menjalani pelayaran ulang-alik ke Pulau Pinang, Malaysia, dari 16 hingga 19 Januari.
Data daripada laman menjejak perjalanan kapal persiaran, CruiseMapper, menunjukkan kapal itu tiba di Singapura pada 6.30 pagi.
Menurut dokumen Royal Caribbean, Ovation of the Seas, salah satu daripada tiga kapal kelas Quantum, memiliki 16 dek (14 untuk penumpang), lebih 2,000 kabin khas, dan mampu membawa lebih 4,000 penumpang.
Pelayaran tiga malam seterusnya ke Pulau Pinang oleh Ovation of the Seas dijadualkan berlepas pada 26 Januari.
Cik Lena Ong, seorang penumpang, memberitahu ST mereka sepatutnya turun dari kapal pada 7.45 pagi, tetapi hanya dapat berbuat demikian sekitar 10 pagi.
Wanita berusia 57 tahun itu berkata terdapat pengumuman yang memaklumkan penumpang tidak dibenarkan turun kerana pelabuhan sedang sibuk.
Ditanya mengenai kejadian tersebut, Cik Ong berkata beliau tidak menyedarinya, sambil menambah, proses turun dari kapal itu “sangat lancar tanpa sebarang masalah”.
ST telah menghubungi Royal Caribbean untuk mendapatkan maklumat lanjut.

