Seorang lelaki berusia 41 tahun dijangka akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya yang berusia 38 tahun di sebuah hotel di South Bridge Road pada 24 Oktober.
Dalam kenyataan pada 24 Oktober, polis berkata lelaki itu tiba di Pusat Polis Kejiranan Bukit Merah East pada 7.40 pagi untuk memberitahu pegawai polis dia telah membunuh isterinya.
Polis berkata suspek ditahan atas penglibatannya dalam kes bunuh tersebut dan dijangka didakwa pada 25 Oktober.
Pegawai polis menemui wanita itu terbaring kaku di sebuah bilik di Hotel Capri by Fraser China Square, dan beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Menurut The Straits Times (ST), pasangan itu sudah berkahwin dan berasal dari Indonesia.
Wanita itu dipercayai telah ditikam.
Hotel berkenaan dikendalikan oleh Frasers Hospitality dan terletak berhampiran Chinatown Point.
Apabila ST tiba di tempat kejadian pada sekitar 11.30 pagi, tiada kenderaan polis atau sekatan kelihatan di luar hotel.
Kakitangan hotel hanya membenarkan tetamu untuk memasuki premis.
Seorang kakitangan di kafe berhampiran – yang enggan namanya didedahkan – berkata beliau melihat sebuah ambulans dan sekurang-kurangnya empat kereta polis di luar hotel pada 8 pagi, dan kenderaan polis telah beredar selepas 9 pagi.
Seorang pelancong dari Thailand yang menginap di Capri – yang enggan namanya didedahkan – berkata beliau tidak melihat apa-apa yang mencurigakan pada 8 pagi ketika meninggalkan biliknya untuk bersarapan di tingkat dua hotel itu.
Sekitar tengah hari, sebuah kereta polis dan van dilihat keluar dari tempat letak kereta berhampiran hotel.
ST difahamkan mayat telah dipindahkan dari hotel lebih awal.
Pada 1.50 petang, pegawai polis berpakaian biasa keluar dari hotel dan memuatkan dua troli berisi peti hitam dan beg berisi bukti ke dalam van putih tidak berlogo.
Salah seorang pegawai memakai baju bertulis ‘forensics’.
Sebagai respons kepada pertanyaan, jurucakap Frasers Hospitality berkata:
“Kami amat sedih dengan kejadian tragik ini.
“Kami sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa, dan kami turut menawarkan sokongan kepada tetamu dan kakitangan yang mungkin terjejas sepanjang tempoh sukar ini.”
Jika disabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman mati.
Siasatan polis masih dijalankan.
Ini merupakan kes bunuh kelima yang dilaporkan pada 2025.
Pada September, seorang wanita meninggal dunia susulan serangan ganas akibat perselisahan faham antara jiran di Yishun Central.
Suspek, seorang lelaki berusia 66 tahun, telah didakwa atas tuduhan membunuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg