Seorang lelaki yang ditembak polis di Taman Pasir Ris menggunakan alat yang diubah suai menjadi penyembur api untuk menyerang pegawai polis telah didakwa dengan cubaan membunuh.
Timothy Heng Shengxian didakwa di hospital pada 9 November oleh majistret luar, dalam proses yang tidak terbuka kepada orang awam dan media.
Lelaki 42 tahun itu dikatakan telah menyemburkan api ke arah Penolong Superintenden Polis (ASP) Chee Xiu Quan pada 8 November, antara 6.26 pagi dengan 6.28 pagi di Mangrove Boardwalk.
Menurut dokumen mahkamah, Heng melakukan demikian dengan niat menyebabkan kematian pegawai polis itu.
Dalam satu kenyataan pada 8 November, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pegawai mereka telah bergegas ke taman itu selepas menerima satu panggilan sekitar 6 pagi mengenai seorang wanita di tepi menara di kawasan itu.
Empat pegawai yang dikerahkan ke sana tidak menemui sesiapa pun, tetapi terlihat Heng di sebuah pondok berhampiran.
Dia dikatakan menyemburkan api ke arah pegawai semasa mereka menghampirinya, lapor The Straits Times.
Walaupun diberi amaran berulang kali supaya berhenti dan meletakkan peranti itu, Heng terus mendekati mereka.
“Memandangkan terdapat ancaman segera terhadap keselamatan mereka, seorang pegawai 30 tahun melepaskan tembakan ke arah lelaki itu dengan pistolnya,” kata SPF.
Heng jatuh dan ditangkap. Sebilah pisau ditemui berhampiran Heng.
Seorang pegawai polis 24 tahun mengalami luka calar dan dirawat di lokasi.
Polis kemudian mendapat tahu bahawa panggilan polis mengenai wanita itu dibuat oleh Heng sendiri.
“Dia dikatakan menelefon dan memberi maklumat palsu untuk mengumpan pegawai ke lokasi, dengan niat untuk mencederakan mereka,” kata SPF, sambil menambah bahawa Heng mengalami luka di lengan kiri dan bahagian badan dalam kejadian itu.
Heng diberikan rawatan sebelum Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba, dan dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan.
Heng juga menghadapi dua pertuduhan mengganggu dan menyebabkan kecederaan serius kepada seorang lelaki di Century Square, Tampines, pada 8 September 2023.
Pada 6 November, dua hari sebelum kejadian penyembur api itu, satu waran tangkapan telah dikeluarkan terhadap Heng selepas dia gagal hadir ke mahkamah bagi insiden di Century Square itu.
Kes Heng akan dibicarakan semula pada 29 November.
Jika sabit kesalahan bagi cubaan membunuh, dia boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup, atau penjara sehingga 20 tahun, berserta denda dan rotan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg