Seorang lelaki berusia 49 tahun ditangkap kerana disyaki membunuh seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah flat HDB di Yishun Ring Road pada 27 Julai.
Dalam satu kenyataan, polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada 8.35 pagi, dan pegawai yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa terbujur kaku.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
Lelaki berusia 49 tahun ditangkap di tempat kejadian.
Dia dijangka didakwa pada 28 Julai atas kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati.
Menurut polis, siasatan awal mendedahkan bahawa kededua lelaki itu saling mengenali.
Berikutan kejadian di tingkat 10, Blok 803, Yishun Ring Road itu, ramai pegawai polis dilihat di blok tersebut.
Mayat yang terbaring berhampiran kawasan lif itu telah ditutup apabila akhbar, The Straits Times, tiba di tempat kejadian.
Darah juga dapat dilihat di lantai, parapet dan tembok flat di blok itu.
Mayat itu dibawa pergi oleh polis sekitar 4.25 petang sebelum dimasukkan ke dalam van mayat, yang meninggalkan tempat kejadian dengan diiringi sebuah kereta polis.
Mangsa dipercayai tinggal di blok tersebut.
Polis turut mengepung kawasan kejadian bagi menjalankan siasatan.
Penyiasat turut dilihat di tempat kejadian, berserta empat kereta ronda polis dan satu van Jabatan Siasatan Jenayah.
Pegawai polis juga dilihat menggeledah tong sampah di kaki blok tersebut.
Kehadiran polis telah membuat penduduk di blok itu cemas dengan ramai yang menjenguk-jenguk dari rumah atau di luar kepungan.
Beberapa penduduk memberitahu ST mereka terdengar dua lelaki bertengkar sebelum kejadian itu berlaku antara 8 pagi dengan 9 pagi.
Seorang penduduk di Blok 802, yang mahu dikenali hanya sebagai Cik Tan, berkata pertengkaran itu mungkin berlarutan kira-kira 10 minit.
“Walaupun saya tinggal di sini sejak 10 tahun lalu, ini kali pertama saya mendengar jeritan begitu kuat di kawasan kejiranan ini,” katanya dalam bahasa Mandarin.
Seorang jiran yang memberikan namanya sebagai Cik Jameah berkata beliau mengenali mangsa, yang disifatkannya sebagai “seorang yang baik”, yang tinggal di situ sejak sekian lama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg