Seorang lelaki berusia 50 tahun yang membunuh seorang lelaki di Clementi didakwa atas tuduhan membunuh pada 23 Oktober.
Toh Chee Hong hadir di mahkamah melalui pautan video sekitar 12.20 tengah hari dan dikenakan tuduhan itu kerana disyaki membunuh Encik Winson Khoo Chin Wah, 41 tahun.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa pembunuhan tersebut berlaku di Blok 311B Clementi Avenue 4, tetapi tidak menyebut secara tepat senjata yang digunakan.
Toh, yang memakai baju polo merah, tidak bersuara apabila namanya dipanggil di mahkamah.
Pendakwa raya meminta Toh direman selama seminggu, dengan kebenaran membawanya keluar untuk lawatan ke tempat kejadian dan mendapatkan lebih banyak bahan bukti, lapor The Straits Times (ST).
Kesnya akan didengar lagi pada 30 Oktober ini.
Polis menerima panggilan bantuan pada kira-kira 5 petang pada 21 Oktober.
Encik Khoo ditemui tidak sedarkan diri di kolong blok di Clementi Avenue 4.
Beliau terus dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana beliau meninggal dunia.
Toh ditahan di tempat kejadian.
Dalam satu rakaman video yang dirakam oleh penduduk, suspek dilihat mengejar mangsa hingga ke Blok 311B.
Mangsa kelihatan tersandung penutup longkang dan terjatuh, dan suspek dilihat seperti menikamnya berulang kali dengan sebuah objek kecil.
Siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki mengenali antara satu sama lain.
Pada 22 Oktober, Persatuan Rakyat (PA) berkata mangsa adalah seorang relawan akar umbi, dan mereka berasa sedih atas kematiannya.
PA berkata Toh bukan ahli mana-mana pertubuhan akar umbi PA.
Kedua-dua lelaki merupakan penduduk estet tersebut.
Apabila ST pergi ke rumah Encik Khoo pada 22 Oktober, keluarga itu enggan mengulas dan meminta diberi privasi.
Kesalahan membunuh membawa hukuman mati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg