Seorang lelaki berusia 70 tahun yang bersenjatakan tukul didakwa pergi ke rumah seorang wanita di Saint George’s Lane berhampiran Whampoa untuk mengancamnya.
Dia dikatakan telah merosakkan pintu rumah wanita tersebut dengan menggunakan tukul, selepas mendakwa wanita itu berhutang dengannya dan mengelak panggilan telefonnya.
Pada 27 Januari, Ho See Kum didakwa dengan satu tuduhan ugutan jenayah dan satu lagi tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Dia akan kembali ke mahkamah pada 24 Februari, selepas pihak pendakwa meminta lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan.
Dokumen mahkamah menunjukkan Ho telah mengunjungi rumah wanita itu sekitar 4 petang pada 26 Januari dengan niat untuk menakutkannya. Hubungan Ho dengan wanita tersebut tidak dijelaskan di mahkamah.
Kesalahan ugutan jenayah membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ho juga menghadapi tuduhan berasingan selepas dia didakwa memiliki sejenis dadah methamphetamine pada 12 Oktober 2024, di sebuah bilik hotel New Cathay.
Dokumen mahkamah menunjukkan dia pernah disabit kesalahan memiliki dadah pada 30 Julai 2019 dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.
Dia kemudian dibebaskan lebih awal pada 18 November 2023 selepas hukumannya diringankan. Hukuman penjara asal dijadual berakhir pada 27 April 2026.
Oleh kerana tuduhan terbarunya berlaku dalam tempoh tersebut, Ho dianggap telah melanggar syarat asas hukuman yang diringankan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg