Seorang pegawai penyiasat (IO) Biro Narkotik Pusat (CNB) didakwa telah menyeleweng wang tunai berjumlah hampir $1,400 daripada tiga lelaki dalam kejadian berasingan.
Muhammad Fayyaz Helmi, 29 tahun, yang kini tidak lagi bekerja dengan agensi tersebut, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah sebagai penjawat awam.
Dia juga didakwa dengan dua pertuduhan setiap satu – melakukan tindakan dengan niat untuk menghalang proses keadilan dan melakukan pemalsuan dengan tujuan penipuan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 2019 dengan 2024, lapor The Straits Times (ST).
Menjawab pertanyaan ST, CNB memberitahu pada 27 Januari bahawa Fayyaz telah meletak jawatan pada Mei 2024.
Jurucakap agensi itu menambah:
“Pada awal 2024, berdasarkan aduan yang diterima, (kami) telah mengesan salah laku seorang pegawai, yang melibatkan penyelewengan wang bukti dalam dua siasatan dan (kami) segera melaporkan perkara tersebut kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk siasatan.
“Siasatan dalaman CNB seterusnya mendedahkan bahawa pegawai tersebut pada dua kejadian lain gagal mengembalikan wang dan harta peribadi yang dirampas semasa siasatan, yang sepatutnya dipulangkan kepada pemiliknya selepas kes selesai.”
Menurut dokumen mahkamah, Fayyaz sedang bertugas sebagai IO apabila dia didakwa menyalahgunakan sekurang-kurangnya $900 daripada mangsa pertama, seorang lelaki.
Apabila mendapat tahu laporan polis telah dibuat terhadapnya, dia kemudian membayar $950 kepada mangsa pertama dengan niat untuk menghalang proses keadilan.
Fayyaz juga dituduh memalsukan jumlah lebih daripada $900 pada slip akuan CNB, menurut dokumen mahkamah.
Secara berasingan, Fayyaz didakwa telah menyalahgunakan sekitar $360 daripada mangsa kedua.
Fayyaz juga didakwa telah memberi $400 kepada lelaki tersebut supaya lelaki itu menutup mulutnya serta berbohong bahawa harta yang dirampas daripadanya telah dikembalikan.
Fayyaz didakwa memalsukan tandatangan lelaki itu pada ‘slip akuan CNB’.
Dalam kes yang tidak berkaitan, Fayyaz didakwa telah menyalahgunakan $130 dan dua kad SIM daripada mangsa ketiga.
Kes Fayyaz akan disebut semula di mahkamah pada 21 Februari.
Jika disabitkan kesalahan pecah amanah sebagai penjawat awam, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.
Bagi setiap tuduhan pemalsuan dengan tujuan penipuan, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg