Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki 72 tahun ditemui meninggal dunia di flat Tampines
Seorang lelaki berusia 72 tahun ditemui tidak sedarkan diri di sebuah unit flat di Tampines pada petang Ahad 9 Ogos, selepas anggota keluarganya gagal menghubungi beliau.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Blok 111 Tampines Street 11 sekitar 3.40 petang.
Lelaki itu yang dikenal pasti keluarganya sebagai Allahyarham Salehudin Attan, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dalam unit kediamannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah. Siasatan masih diteruskan.
Anak saudara Allahyarham, Encik Sjaiful Sjahrin Mohamed Said, 53 tahun, berkata beliau tinggal bersama ibunya, Cik Jamaliah Attan, 75, tahun yang merupakan kakak kepada Allahyarham, di unit yang terletak satu tingkat atas rumah Allahyarham.
Menurut Encik Sjaiful, seorang jiran yang tinggal berhadapan rumah Allahyarham telah memberitahunya pada pagi 9 Ogos bahawa terdapat orang mengetuk rumah pak ciknya sekitar 4 petang hari sebelumnya dan sekali lagi sekitar 6 pagi pada hari itu, namun tiada respons.
Jiran itu turut memberitahu Encik Sjaiful bahawa beliau terhidu bau yang kurang menyenangkan dari rumah Allahyarham.
Encik Sjaiful kemudian cuba menghubungi bapa saudaranya melalui telefon dan WhatsApp namun tidak mendapat respons.
Beliau berkata, keadaan itu tidak semestinya dianggap luar biasa kerana Allahyarham Salehudin kadangkala tidak menjawab panggilan atau mesej, malah mereka ada kalanya tidak mendengar khabar daripadanya selama tempoh seminggu atau dua minggu.
Namun, Cik Jamaliah sudah sekitar sebulan tidak melihat adiknya sebelum menghubungi seorang lagi adiknya, Encik Sharuddin Attan, 67 tahun, untuk meminta beliau memeriksa keadaan Allahyarham Salehudin.
Encik Sharuddin kemudian pergi ke unit abangnya bersama Encik Sjaiful dan menggunakan kunci yang diberikan Cik Jamaliah untuk membuka pintu.
Beliau menemui Allahyarham Salehudin terbaring di dalam sebuah bilik sebelum menghubungi polis.
Encik Sjaiful berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Allahyarham melalui WhatsApp ialah pada pertengahan Julai, ketika bertanya sama ada bapa saudaranya memerlukan apa-apa dari Johor Bahru.
Ketika itu, Allahyarham memberitahunya bahawa beliau merancang untuk berhenti kerja pada hujung bulan.
Menurut Encik Sjaiful, Allahyarham masih bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat farmaseutikal pada ketika itu.
Hubungan Encik Sjaiful dengan bapa saudaranya juga semakin rapat sejak kebelakangan ini.
Beliau, yang merupakan jurulatih tenis, berkata beliau beberapa kali membawa Allahyarham Salehudin bersamanya ke Johor Bahru apabila mempunyai urusan kerja di sana.
Antara perkara yang mereka lakukan ialah menginap semalaman dan bersarapan di Warung Kita di Iskandar Puteri, yang merupakan antara tempat makan kegemaran Allahyarham.
“Beliau seorang yang sederhana, tak suka bergaduh atau bertengkar. Beliau suka benda-benda yang sederhana,” kata Encik Sjaiful.
“Beliau yang menjaga saya ketika saya kecil. Sekarang saya dah besar, saya cuba juga menjaga dia. Jadi bila saya pergi melancong, saya bawa dia,” katanya lagi yang belum berumah tangga.
Encik Sjaiful berkata beliau merancang untuk membawa Allahyarham Salehudin bersamanya ke Hong Kong bagi satu urusan kerja pada hujung tahun ini.
Namun, rancangan itu tidak kesampaian.
“Tak sampai hajat,” katanya.
Allahyarham Salehudin tinggal seorang diri di flat empat bilik itu. Beliau tidak mempunyai anak, manakala isterinya tinggal di Kuala Lumpur, menurut Encik Sjaiful.
Jenazah Allahyarham telah dibawa dari tempat kejadian dan urusan pengebumian akan dikendalikan oleh keluarganya pada 10 Ogos.
Polis berkata siasatan masih dijalankan.
