Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki akui bersalah jual peranti penstriman haram di Sim Lim Square

Mar 20, 2025 | 4:13 PM
Wang Yue mengaku bersalah bagi 34  pertuduhan pelanggaran hak cipta yang dikenakan ke atas dirinya dan syarikatnya, Ace Technologies.
Wang Yue mengaku bersalah bagi 34 pertuduhan pelanggaran hak cipta yang dikenakan ke atas dirinya dan syarikatnya, Ace Technologies. - Foto ST

Seorang pemilik kedai yang ditangkap kerana menjual peranti penstriman haram di Sim Lim Square mengaku bersalah atas 17 pertuduhan berkaitan pelanggaran hak cipta.

Pada 20 Mac, Wang Yue, 36 tahun, hadir di Mahkamah Negara untuk menghadapi pertuduhannya, lapor The Straits Times (ST).

Warga China itu juga mengaku bersalah atas 17 lagi pertuduhan berkaitan hak cipta yang dikenakan terhadap syarikatnya, Ace Technologies.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jonathan Tan berkata Ace Technologies mengendalikan empat unit kedai di Sim Lim Square dan menjual peranti penstriman haram antara 2018 hingga 2022.

Peranti yang dibeli Wang daripada pembekal luar negara itu memberi pembeli akses kepada kandungan cetak rompak daripada Disney, Warner Bros, Discovery Inc, dan Liga Perdana England (EPL).

DPP Tan berkata Wang turut mengarahkan pekerjanya menawarkan peranti tersebut dengan memberitahu pelanggan bahawa mereka boleh mengakses kandungan yang mempunyai hak cipta itu secara percuma.

Dengan meletakkan harga antara $149 hingga $249 bagi setiap peranti, Wang mengaku dia menjana pendapatan hingga $18,000 sebulan.

Meskipun telah menerima dua surat amaran pada Januari dan Oktober 2020 daripada Persatuan Bola Sepak Liga Perdana supaya menghentikan penjualan peranti tersebut kerana ia melanggar hak cipta liga tersebut, Wang meneruskan penjualannya.

Dia ditangkap pada 4 Oktober 2022 selepas serbuan oleh pegawai polis daripada Cawangan Hak Cipta Intelektual.

Semasa serbuan, pegawai merampas lebih 1,000 peranti penstriman haram dari kedai Wang.

DPP Tan memohon hukuman penjara hingga enam bulan dan lima minggu ke atas Wang, bersama denda antara $178,000 hingga $186,500 ke atas syarikatnya.

Wang dan Ace Technologies pada awalnya menghadapi 50 pertuduhan berkaitan hak cipta setiap satu. Baki 33 pertuduhan akan diambil kira ketika hukuman dijatuhkan pada 24 April.

Tindakan ke atas Wang dan syarkatnya menyusuli kejayaan mensabitkan seorang pemilik kedai lain pada Oktober 2024 atas pertuduhan yang menyasarkan peniaga yang menjual peranti penstriman haram secara komersial.

Pemilik kedai dalam kes itu, Ge Xin, 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, manakala dua kedainya – MT Gadget+ dan Grandnew – masing-masing didenda $200,000 dan $100,000. 

Akta Hak Cipta Singapura dipinda pada 2021 untuk melarang penjualan peranti penstriman media dengan khidmat ‘tambahan’ yang membolehkan pengguna mengakses kandungan cetak rompak.

Pada Oktober 2022, polis menyerbu beberapa kedai runcit di Sim Lim Square dan menangkap 17 individu kerana menjual peranti penstriman haram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg