Seorang lelaki yang mengetahui bahawa seorang pengguna Telegram terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian secara haram, membantu individu tersebut mencari akaun bank yang kemudian diakses secara haram untuk memindahkan wang.
Koh Dong Sheng, seorang warga Singapura, bercakap dengan dua wanita dan minta mereka berkongsi butiran akaun bank mereka sebagai pertukaran untuk ganjaran.
Kededua wanita bersetuju dan akaun bank mereka menerima lebih $1.9 juta – kebanyakan wang tersebut dipindahkan.
Menurut mahkamah, wanita-wanita itu tidak melakukan transaksi tersebut.
Koh, 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 12 Februari selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan bekerjasama dengan orang lain untuk mengakses sistem komputer secara haram, lapor The Straits Times.
Dia diberi ikat jamin sebanyak $10,000 dan dijangka jalani hukuman pada 26 Februari.
Pengguna Telegram yang hanya dikenali sebagai Noit, warga Malaysia, meminta Koh untuk mencari akaun bank yang boleh digunakan.
Pada atau sekitar 16 Februari 2023, Koh menyerahkan butiran Noit kepada Jovena Tan, 20 tahun, yang dijanjikan ‘sejumlah pendapatan’.
Dia membuka akaun bank dan kemudian menyerahkan butiran perbankan Internet dan kad yang dihubungkan kepada akaun itu kepada individu yang tidak dikenali.
Selain daripada deposit awal sebanyak 32 sen pada 16 Februari 2023, tidak ada transaksi lain pada bulan itu.
Pada Mac 2023, terdapat satu deposit sebanyak $100, yang tidak dilakukan oleh Tan.
Tiada pengeluaran wang dilakukan.
Namun, dari 1 April hingga 31 Julai 2023, hampir $1.67 juta dimasukkan dan sekitar $1.66 juta dipindahkan keluar.
Akaun tersebut ditutup pada 3 Ogos 2023.
Secara berasingan, Koh memberi butiran perhubungan Noit kepada Cindy Kong, 37 tahun, sekitar Mac 2023.
Koh beritahunya untuk setiap akaun bank yang dia sediakan, dia boleh menerima $300 sebulan.
Pada 15 Mac tahun itu, Kong keluarkan semua wang dari akaun banknya dan memberitahu Koh bahawa akaun itu sudah siap.
Menurut dokumen mahkamah, dia menyerahkan butiran perbankan Internet dan kad yang dihubungkan dengan akaun tersebut kepada seseorang yang tidak dikenali.
Antara 31 Mac dan 29 April 2023, lebih $251,000 telah dimasukkan ke dalam akaun dan sekitar $250,000 telah dipindahkan keluar.
Untuk kededua kes melibatkan Kong dan Tan, dokumen mahkamah tidak mendedahkan sumber wang tersebut dan ke mana ia dipindahkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg