Lelaki bebas dengan jaminan didakwa rosakkan perangkap gagak NParks
Lelaki bebas dengan jaminan didakwa rosakkan perangkap gagak NParks
Seorang lelaki, yang sedang dibebaskan dengan jaminan atas tuduhan penipuan dan kecurian, kini didakwa lagi.
Tuduhan terbarunya – merosakkan perangkap yang dipasang Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mengawal jumlah gagak.
Kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Mohd Yusrin Mohd Yusof itu mengakibatkan gagak-gagak dalam perangkap terlepas bebas.
Dia hadir ke mahkamah melalui pautan video pada 6 Mac, menghadapi dua tuduhan perbuatan khianat.
Ini menambah jumlah tuduhannya kepada empat, termasuk penipuan dan kecurian yang sedia ada.
Dokumen mahkamah mendedahkan Yusrin, 50 tahun, dituduh menipu seorang wanita untuk mendapatkan sebotol bir bernilai $8.50 di Jurong Gateway Road sekitar 4.30 petang pada 10 Jun 2025.
Dia juga dituduh mencuri sebotol bir pada hari yang sama.
Dia didakwa di mahkamah pada 2025 dan dibebaskan dengan ikat jamin $5,000.
Namun, pada 2 Mac sekitar 11 malam, dia didakwa mengangkat dan menjatuhkan perangkap gagak di kawasan rumput berhampiran Blok 51, Havelock Road, menyebabkan seekor burung terlepas.
Tidak lama kemudian, sebelum 12.40 pagi pada 3 Mac, dia didakwa memecahkan kunci perangkap lain pula, membebaskan tiga ekor burung.
Polis, dibantu rakaman CCTV, berjaya mengenal pasti Yusrin, dan dia ditangkap pada 4 Mac.
Persidangan praperbicaraannya dijadual pada 11 Mac.
Ini merupakan kes kedua dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang mengganggu operasi NParks mengawal jumlah gagak.
Pada 27 Januari, Tan See Chee, 77 tahun, didenda $500 selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan khianat kerana memotong pengikat kabel sebuah perangkap burung di Lorong 4 Toa Payoh dan membiarkan tiga ekor burung terlepas.
Pada Februari, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mendedahkan laporan berkaitan gagak meningkat mendadak, mencecah kira-kira 15,000 kes pada 2025, jauh lebih tinggi berbanding hampir 5,000 kes pada 2020.
Aduan serangan gagak juga melonjak kepada lebih 2,000 kes pada 2025, berbanding lebih 460 kes pada 2020.
Beliau memberi amaran bahawa peningkatan jumlah gagak yang berterusan akan membahayakan keselamatan penduduk, dan NParks telah diarah mempertimbangkan semula kaedah menembak gagak bagi mengurangkan bilangannya.

