Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki bersenjata pisau ditangkap di Pusat Sivik Woodlands

Mar 27, 2025 | 9:15 PM
Seorang pegawai polis mengacukan pistolnya ke arah seorang lelaki yang bersenjatakan pisau di Pusat Sivik Woodlands pada pagi 27 Mac.
Seorang pegawai polis mengacukan pistolnya ke arah seorang lelaki yang bersenjatakan pisau di Pusat Sivik Woodlands pada pagi 27 Mac. - Foto Ihsan NIZAM ADLI SAPARIN

Seorang lelaki berusia 69 tahun yang bersenjatakan pisau ditangkap di Pusat Sivik Woodlands menyusuli satu panggilan meminta bantuan yang diterima polis pada 10.45 pagi, 27 Mac.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata seorang pegawainya yang berada di tempat kejadian mengeluarkan pistolnya dan mengarahkan lelaki itu membuang pisau tersebut.

Lelaki itu mematuhi arahan tersebut sebelum dia ditangkap mengikut Akta Kesihatan Mental (Penjagaan dan Rawatan) 2008.

Seorang saksi di tempat kejadian, Encik Nizam Adli Saparin, 48 tahun, berkata kawasan Pusat Sivik itu dikepung dan pintu kacanya ditutup.

Beliau, yang berada di situ untuk menggunakan mesin tunai automatik (ATM), memetik gambar insiden tersebut dan berkongsi bersama BH.

“Semasa saya menggunakan ATM di tingkat dua bangunan itu saya ternampak beberapa pegawai polis berlari ke tingkat tiga.

“Kerana ingin tahu, saya pun menaiki tangga bergerak dan dapat melihat seorang pegawai polis mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah seseorang,” kata Encik Nizam.

Menurut Encik Nizam lagi, beliau tidak dapat mendengar perbualan antara pegawai polis tersebut dengan lelaki berkenaan kerana pejabat HDB itu ditutup, dan beliau hanya dapat menyaksikannya dari luar sebuah pintu kaca.

“Tetapi tak sampai pun lima minit, lelaki itu menyerah,” ujar Encik Nizam, yang menggambarkan lelaki tersebut dalam lingkungan umur 60-an tahun.

Lelaki itu tidak cedera dan jurucakap SPF berkata dia akan membantu dalam siasatan kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.

“Polis komited dalam memastikan keselamatan awam dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi menguruskan situasi sedemikian dengan berkesan,” kata polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg