Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki cabul kehormatan cucu perempuan dijel 36 bulan

Sep 23, 2025 | 6:05 PM
Datuk, cabul, cucu
Seorang lelaki berusia 67 tahun dihukum penjara 36 bulan kerana mencabul kehormatan cucunya dalam dua kejadian berasingan. - Foto ST

Seorang datuk berusia 67 tahun dihukum penjara 36 bulan kerana mencabul kehormatan cucunya, yang berusia 13 tahun pada masa itu, dalam dua kejadian berasingan.

Lelaki tersebut sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat mencabulnya.

Kedua-dua lelaki dan kanak-kanak tidak boleh dinamakan demi melindungi identiti mangsa, lapor The Straits Times (ST).

Menurut dokumen mahkamah, mangsa tinggal bersama datuknya semasa kejadian tersebut.

Kejadian pertama berlaku pada Jun 2024 selepas kanak-kanak itu meminta datuknya menggosok perutnya yang berasa tidak selesa.

Lelaki itu mengangkat kemeja-T mangsa untuk menggosok perutnya, namun akhirnya menyentuh dada kanak-kanak itu sebanyak 10 kali.

Pada 23 September 2024, lelaki itu dan mangsa bersendirian di flat ketika dia mencabul cucunya sekali lagi.

Kanak-kanak itu menolaknya dan bersembunyi dalam tandas flat tersebut dengan niat menunggu bapanya pulang dari kerja.

Selepas mengadu kepada ibunya pada malam yang sama, mereka membuat laporan polis pada 25 September 2024. Lelaki itu diberkas pada hari sama dan dibawa ke mahkamah pada 26 September 2024.

Dia ditahan reman sejak itu.

Bagi kesalahan mencabul kanak-kanak bawah umur 14 tahun, seorang pesalah boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda atau disebat. Lelaki tersebut tidak boleh dirotan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara antara 19 dengan 23 bulan untuk lelaki tersebut serta tambahan empat hingga lima bulan sebagai ganti sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Shaun Lim berkata: “Sebagai datuk mangsa, tertuduh sepatutnya memberi tempat perlindungan untuk mangsa, tetapi sebaliknya dia menyalahgunakan kepercayaan mangsa untuk melakukan kesalahan itu bukan sekali, tetapi dua kali.”

Hakim Daerah John Ng berkata jika bukan kerana usianya, lelaki itu sepatutnya diberikan 10 sebatan bagi kedua-dua pertuduhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg