Seorang lelaki dirakam dalam video didakwa mengambil pakaian dalam penduduk Choa Chu Kang dari luar unitnya, tetapi memulangkan barang yang diambilnya selepas menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Satu catatan Facebook oleh penduduk berkenaan, Cik Elyvi Lim, berkongsi rakaman dari kamera CCTVnya yang menunjukkan kejadian itu.
Klip rakaman pada 31 Januari sekitar 9.35 pagi itu menunjukkan lelaki tersebut berjalan melepasi unit Cik Lim dan mencuri pakaian dalam yang tergantung di luar.
Selepas memilih beberapa pakaian dalam, lelaki itu memasukkannya ke bahagian depan dalam seluarnya dan berlalu pergi.
Bagaimanapun, beliau seolah-olah ternampak CCTV tersebut dan kemudian memperlahankan langkahnya.
Rakaman itu kemudian menunjukkan dia memulangkan pakaian dalam tersebut ke rak pakaian sebelum segera meninggalkan tempat kejadian.
Cik Lim mendakwa bahawa perkara tersebut sudah lama berlaku, namun beliau baru menyedarinya dan memutuskan untuk memasang CCTV di luar flatnya untuk mengesan si pelaku.
Beliau kini merayu untuk mendapatkan maklumat mengenai lelaki tersebut dan berkata dia dilihat di kawasan Choa Chu Kang dan Yew Tee.
Menjawab pertanyaan media, polis mengesahkan laporan telah dibuat dan berkata seorang lelaki berusia 27 tahun sedang membantu siasatan bagi kes penyelewengan harta benda secara tidak jujur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg