Seorang lelaki warga Korea Selatan di Singapura dikatakan mendapat faedah perbuatan jenayah berjumlah lebih $1.5 bilion dari negara asalnya dan Jepun dari 2014 hingga 2017.
Kim Taek Hoon, 63 tahun, dipercayai menggunakan wang yang diperoleh secara haram itu untuk membeli hampir 28,000 jongkong emas, setiap satu seberat satu kilogram.
Dia juga dituduh menipu Kastam Singapura dan tiga syarikat logistik di sini dalam tempoh itu, lapor The Business Times (BT).
Dia dituduh mengisytiharkan bahawa beberapa kiriman ke Korea Selatan dan Jepun melalui tiga syarikat logistik tersebut, hanya mengandungi “peralatan berkuasa udara”.
Namun hakikatnya, kiriman tersebut dikatakan membawa lebih 23,000 jongkong emas.
Kim, yang hadir di Mahkamah Daerah pada 23 Ogos, menghadapi lebih 20 tuduhan atas pelbagai kesalahan termasuk menipu dan pengubahan wang haram.
Menurut polis dalam satu kenyataan, pegawainya menahan Kim pada Disember 2023 selepas Jabatan Ehwal Komersial (CAD) menerima maklumat berhubung kes itu.
Siasatan mendapati bahawa dari 2014 hingga 2017, Kim dipercayai menyeludup wang tunai dari Korea Selatan dan Jepun, serta menyembunyikan wang itu dalam “kiriman peralatan” tersebut.
Menurut polis, Kim dikatakan “gagal membuat pengisytiharan yang diperlukan bagi penerimaan wang tunai dari luar negara, walaupun setiap penerimaan wang tunai itu melebihi nilai yang ditetapkan iaitu $20,000”.
Di Singapura, orang ramai dikehendaki mengisytiharkan sebarang pergerakan fizikal melibatkan mata wang atau barangan yang boleh digunakan untuk perniagaan.
Ini termasuk cek dan kiriman wang ke dalam negara atau keluar dari Singapura, jika jumlah nilainya melebihi $20,000, atau yang sama nilainya dalam mata wang asing.
Pada akhir 2014, Kim dipercayai menerima lebih $31 juta dari Korea Selatan.
Dia dituduh menggunakan wang itu untuk membeli 628 jongkong emas.
Dia juga dituduh menipu dua syarikat logistik sekitar masa itu.
Dia dituduh menipu Pantos Logistics dan DHL Express Singapore dengan menyatakan bahawa kirimannya hanya mengandungi peralatan berkuasa udara.
Menurut dokumen mahkamah, kiriman itu sebenarnya dikatakan mengandungi sekitar 600 jongkong emas.
Selain itu, Kim dituduh menipu Kastam Singapura, mendorongnya untuk meluluskan permit pelepasan kargo untuk kiriman tersebut.
Bagi setiap tuduhan menipu, pesalah boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda.
Bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda hingga $500,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg