Seorang lelaki didakwa pada 8 September atas satu pembunuhan yang berlaku di Pusat Makanan Maxwell pada 6 September.
Warga China, Wu Tao, 41 tahun, dituduh membunuh Cik Tan Kamonwan, 48 tahun, dalam sebuah gerai di pusat penjaja di Jalan Kadayanallur itu antara 10.25 malam dengan 10.53 malam pada 6 September.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata bahawa Wu, yang juga penduduk tetap Singapura, ditahan di Pusat Polis Kejiranan Bukit Merah East sejurus selepas 1.30 pagi pada 7 September, selepas dia memberitahu pegawai di sana dia telah menikam seorang wanita.
Para pegawai mendapati Cik Tan terbaring tidak bergerak apabila mereka tiba di Pusat Makanan Maxwell.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan meminta bantuan di pusat makanan itu pada 1.35 pagi dan seorang paramedik mengesahkan wanita tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, lapor The Straits Times.
Siasatan awal mendedahkan bahawa Cik Tan dan Wu saling mengenali.
Menurut Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), Wu pernah menjadi pengarah di sebuah firma bernama, Travelers Palm Restaurant.
Kesnya telah ditangguhkan ke 27 September.
Pesalah yang disabit kesalahan membunuh boleh menghadapi hukuman mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg