Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara, rotan bagi lelaki ugut mangsa dengan pisau  

Aug 28, 2024 | 6:05 PM
Tertuduh mengugut akan hantar gambar bogel mangsa kepada bapanya, selain memaksanya melakukan hubungan seks.
Tertuduh mengugut akan hantar gambar bogel mangsa kepada bapanya, selain memaksanya melakukan hubungan seks. - Foto Zaobao

Seorang lelaki yang mengancam akan menghantar gambar bogel seorang gadis kepada bapanya untuk memaksa mangsanya itu mengikutinya pulang, dan kemudian mengacukan pisau pencincang ke arahnya untuk cuba mengajaknya melakukan hubungan seks, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 20 minggu dan enam sebatan oleh mahkamah daerah.

Muhammad Shahrul Nizam Zulkifli, 23 tahun, yang dijatuhi hukuman pada 28 Ogos, mengaku bersalah atas dua pertuduhan ugutan jenayah, satu pertuduhan mencabul kehormatan dan satu pertuduhan mengugut untuk mengedarkan gambar intim mangsa.

Tiga lagi pertuduhan serupa diambil kira untuk menjatuhkan hukuman.

Nama mangsa dan hubungannya dengan Shahrul tidak boleh didedahkan kerana perintah larangan bagi melindungi identitinya.

Mahkamah mendengar bahawa Shahrul bertemu mangsa di luar sekolahnya kira-kira 10.30 malam pada 4 Mei 2023, dan memintanya mengikutnya menaiki kenderaan sewa privet, lapor The Straits Times.

Mangsa bersetuju kerana menyangka Shahrul ingin makan bersamanya.

Apabila mangsa menyedari kenderaan itu menuju ke rumah Shahrul, dia berkata dia tidak mahu ke sana.

Shahrul kemudian memaksa mangsa supaya mematuhinya, dengan mengugut akan menghantar gambar bogel mangsa kepada bapanya.

Sampai di rumah, Shahrul mengacukan pisau Swiss ke arah mangsa untuk memaksanya masuk.

Di bilik tidurnya, dia mengambil telefon bimbit mangsa supaya dia tidak boleh mendapatkan bantuan.

Apabila mangsa enggan berbual dengannya, dia mencapai sebilah pisau pencincang yang ada di biliknya itu dan mengacukannya ke arah mangsa.

Apabila mangsa mula menangis kerana Shahrul mencabul kehormatannya, Shahrul menyuruhnya pulang tetapi cepat-cepat berubah fikiran.

Shahrul yang berang kerana mangsa enggan melakukan hubungan seks, kemudian menolaknya ke lantai dan mengangkat pisau pencincang itu seolah-olah hendak menyerangnya.

Mangsa menjerit kepadanya supaya berhenti. Kerana takut didengari neneknya yang berada di rumah, Shahrul melepaskan mangsa.

Dia memulangkan telefon bimbit itu dan membenarkan mangsanya pergi.

Shahrul menyerahkan diri kepada polis pada 7 Mei 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg