Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Kebimbangan mangsa serangan seksual tidak harus diperkecil, diketepikan

Mar 24, 2025 | 8:40 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kanan), terkejut membaca komen Naib Presiden Persatuan Undang-undang Singapura, Encik Chia Boon Teck, yang disifatkan boleh menjejas tanggapan terhadap mangsa serangan seksual dan menghalang mereka daripada tampil membuat laporan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kanan), terkejut membaca komen Naib Presiden Persatuan Undang-undang Singapura, Encik Chia Boon Teck, yang disifatkan boleh menjejas tanggapan terhadap mangsa serangan seksual dan menghalang mereka daripada tampil membuat laporan. - Foto-foto CHIA WONG CHAMBERS, ZAOBAO

Naib Presiden Persatuan Undang-undang Singapura, Encik Chia Boon Teck, telah menerima kritikan keras berhubung komen yang dibuatnya mengenai mangsa rogol yang terselamat.

Mengulas tentang ulasan tersebut, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menyatakan pandangan Encik Chia mungkin silap memberi gambaran norma di Singapura.

Encik Shanmugam, malahan, berkata beliau terkejut membaca komen Encik Chia, yang telah dimuatnaikkan ke akaun LinkedIn-nya pada 22 Mac, berhubung kes Mahkamah Tinggi, melibatkan Lev Panfilov, yang disabitkan kesalahan merogol seorang wanita yang ditemui di aplikasi janji temu, Tinder.

Antara lain, Encik Chia, dalam hantaran yang kini dipadamkan, didakwa berkata bahawa “Tinder bukan LinkedIn”, merujuk kepada bagaimana mangsa dan pelaku mula-mula bertemu.

Dalam hantaran yang sama, beliau menggambarkan mangsa, yang berusia 30 tahun, sebagai “seorang yang bukan naif” dan mengulas, “Wah. Adakah dia terjaga sepanjang kejadian itu?”, merujuk kepada serangan seksual yang dialami mangsa.

Menurut akhbar The Straits Times, Encik Shanmugam, dalam hantaran di Facebook pada 24 Mac, berkata bahawa berdasarkan komen tersebut, Encik Chia seolah-olah beranggapan kenyataan mangsa itu tidak harus dipercayai.

Menurut Encik Shanmugam, beliau bimbang kesan komen itu kepada mangsa lain.

“Secara falsafah, pandangan saya berbeza daripada apa yang dikemukakan Encik Chia.

“Perbezaan itu jelas melalui perubahan yang kami laksanakan, sama ada dari segi undang-undang di Singapura mahupun cara polis menjalankan siasatan,” kata Encik Shanmugam lagi.

Beliau turut menyenaraikan perubahan yang telah Singapura lakukan demi melindungi mangsa serangan dan gangguan seksual dengan lebih berkesan.

Antara perubahan yang dilakukan termasuk pemansuhan peruntukan pada 2012 dalam Akta Keterangan yang membenarkan peguam bela menyoal seseorang yang didakwa mangsa rogol, untuk mencuba dan menunjukkan bahawa dia secara am tidak bermoral.

Peruntukan tersebut, yang telah wujud sejak 1872, membolehkan peguam menyoal balas seorang wanita mengenai masa lalu seksualnya untuk menunjukkan bahawa beliau seorang “wanita tidak bermoral” dan oleh itu tidak boleh dipercayai.

Encik Shanmugam turut merujuk kepada pemansuhan imuniti perkahwinan bagi kes rogol dalam Kanun Keseksaan pada 2020, dan peningkatan hukuman bagi kesalahan seksual termasuk mencabul kehormatan.

Beliau menambah: “Kami telah bergerak ke arah bertentangan dengan pandangan peribadi yang telah dinyatakan oleh Encik Chia, tidak kira jawatan institusi yang digalasnya.

“Saya berharap kita akan terus menjadi masyarakat yang menyediakan rangka kerja yang betul untuk melindungi wanita dalam kes serangan seksual. Terlalu kerap, mangsa berdiam diri.

“Kami perlu membantu mereka tampil ke depan dan melaporkan.”

Encik Shanmugam turut bersuara menentang sikap membuat tanggapan umum tentang wanita, dengan menyatakan mereka sering menjadi mangsa serangan seksual.

“Peguam (khususnya, mereka yang memegang jawatan kanan dan mewakili kerjaya undang-undang) perlu peka bahawa apabila membuat kenyataan yang memperkecilkan atau mengetepikan kebimbangan mangsa, ia boleh memberi kesan yang tidak seimbang kepada mangsa lain – yang kemudian mungkin enggan melaporkannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg