Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa campak kucing dari tingkat 38

Oct 8, 2024 | 5:23 PM
Ryan Tan Yi Bin, 25 tahun, yang dikenakan pertuduhan menganiaya haiwan, didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 78 Lorong Limau, berdekatan dengan Whampoa Road, antara 2 dengan 4 pagi pada 7 Oktober.
Ryan Tan Yi Bin, 25 tahun, yang dikenakan pertuduhan menganiaya haiwan, didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 78 Lorong Limau, berdekatan dengan Whampoa Road, antara 2 dengan 4 pagi pada 7 Oktober. - Foto SPH

Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 8 Oktober selepas dia didakwa menendang seekor kucing, memijak kepalanya berulang kali dalam lif dan mencampakkannya dari tingkat 38 sebuah flat, menyebabkan haiwan itu mati.

Ryan Tan Yi Bin, 25 tahun, yang dikenakan pertuduhan menganiaya haiwan, didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 78 Lorong Limau, berdekatan dengan Whampoa Road, antara 2 dengan 4 pagi pada 7 Oktober.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan sebab dia berbuat demikian.

Tan, yang tampil menerusi pautan video dari Divisyen Polis Central, hanya memandang ke lantai dan menggenggam tangan di hadapan dadanya ketika dhadapkan di depan Hakim Daerah Lorraine Ho.

Tanpa mendedahkan butiran, seorang pendakwa daripada  Lembaga Taman Negara (NParks) memberitahu Hakim Ho bahawa Tan ditangkap pada 7 Oktober dan meminta mahkamah agar tidak menawarkan jaminan kepadanya.

Pendakwa raya juga meminta warga Singapura itu direman selama seminggu sehingga selesai siasatan, lapor The Straits Times (ST).

Tan tidak diwakili peguam dan kesnya ditangguhkan ke 15 Oktober.

Pesalah kali pertama yang didapati bersalah berlaku kejam ke atas haiwan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 18 bulan dan denda sehingga $15,000.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga $30,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg