Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki didakwa culik remaja 19 tahun dek perselisihan sewa kereta
Seorang lelaki didakwa di mahkamah pada 5 Ogos atas tuduhan menculik seorang remaja berusia 19 tahun, selain berdepan tuduhan tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kerana memiliki parang berukuran 43 sentimeter.
Menurut dokumen mahkamah, Mashahri Mazlan menculik mangsa pada sekitar 1.55 pagi, 4 Ogos, di Blok 104B Canberra Street dengan mengugut mangsa menggunakan pisau dan memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan.
Lelaki berusia 38 tahun itu juga dikatakan bersenjatakan sebilah parang berukuran sekitar 43 sentimeter.
Dari Canberra Street, Mashahri didakwa memandu kereta milik mangsa ke 43 Admiralty Road West, dan kemudian ke persimpangan Woodlands Avenue 10 dan Avenue 7.
Dalam kenyataan sebelum ini, pihak polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 4 Ogos.
Siasatan awal menunjukkan mangsa telah didatangi oleh kumpulan berkenaan yang dianggotai Mashahri, dua wanita, dan seorang lagi lelaki berikutan perselisihan berkaitan penyewaan kereta.
Mashahri dikatakan telah mengacukan parang bagi mengugut serta mengarahkan mangsa supaya duduk di kerusi penumpang depan.
Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan lelaki berkenaan duduk di bahagian belakang kereta.
Pegawai daripada Divisyen Polis Woodlands mengesan kenderaan mangsa di Woodlands selepas kejadian penculikan itu, namun Mashahri bertindak memecut laju untuk mengelak daripada ditangkap.
Cubaan mengejar kenderaan tersebut bagaimanapun berakhir apabila ia terbabas lalu merempuh tiang lampu di persimpangan Woodlands Avenue 7 dan Woodlands Avenue 10.
Mashahri ditahan di tempat kejadian dan didapati memiliki sebilah parang, manakala anggota kumpulan lain telah melarikan diri.
Lelaki berusia 36 tahun dan dua wanita berumur 30 dan 38 tahun itu ditangkap secara berasingan menerusi siasatan susulan.
Siasatan polis terhadap ketiga-tiga individu berkenaan masih dijalankan. Mashahri akan ditahan reman bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.
Kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 12 Ogos.
Jika disabit kesalahan menculik, pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, sebatan, atau menerima mana-mana gabungan hukuman berkenaan.
