Seorang lelaki yang dituduh menghasilkan ‘vape’ yang dicampur racun, atau ‘Kpod’, di rumahnya di Yishun telah didakwa pada 17 Julai.
Mohammed Akil Abdul Rahim, 41 tahun, berdepan lima tuduhan di bawah Akta Kawalan Iklan dan Jualan Tembakau.
Pada 11 Disember 2024, Akil ditemui dengan ‘vape’ dan pelbagai komponen berkaitan di sebuah unit flat di Blok 269B, Yishun Street 22.
Ini termasuk 569 bingkai pod kosong; 534 komponen pod; 1,485 penutup pod; dan 100 pod ‘e-vaporizer’.
Akil dipercayai menghasilkan ‘Kpod’ DIY (yang dibuat sendiri) di rumahnya menggunakan barangan tersebut.
Pendakwa dari Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata mereka telah menyediakan tawaran rayuan untuknya, lapor The Straits Times (ST).
Akil yang tampil melalui video berkata dia memahami kesemua tuduhan ke atasnya dan ingin mengaku bersalah terhadap semua tuduhan tersebut.
Akil berkata dia tidak ingin menggunakan khidmat peguam sambil menambah bahawa dia “tidak mahu membuang masa mahkamah”.
Selain itu, Akil juga sebelum ini didakwa dengan dua tuduhan di bawah Akta Racun kerana memiliki dan menjual ‘etomidate’, sejenis racun yang selalunya dikesan terkandung dalam ‘vape’.
Pada 11 Disember 2024, selepas tengah malam, Akil didakwa menjual 100 pod ‘vape’ mengandungi 150 mililiter cecair ‘etomidate’ di luar flatnya.
Pada sekitar 5.30 pagi pada hari yang sama, Akil didakwa ditemui bersama 26.4 gram serbuk putih yang juga mengandungi ‘etomidate’.
‘Kpod’ semakin menimbulkan kebimbangan di Singapura dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada 12 Julai bahawa menghisap ‘vape’ adalah perkara serius, kerana ‘etomidate’ boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kekejang dan psikosis.
‘Etomidate’ digunakan sebagai penenang semasa prosedur perubatan dan hanya boleh disuntik oleh seorang doktor dan ia tidak sepatutnya dihisap.
Jika diwapkan dan dihidu, ‘etomidate’ boleh memasuki paru-paru dan menyebabkan masalah seperti kekejangan, kesukaran bernafas dan psikosis.
Sementara itu, Akil turut menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Akta Pasport kerana membuat kenyataan palsu kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) semasa memohon pasport baru pada 20 Januari.
Dia didakwa berbohong dengan mengatakan dia terlupa begnya, yang mengandungi Kad Pengenalan (NRIC) dan pasport, selain mendakwa pasportnya tidak dikembalikan.
Akil yang ditahan reman sejak 20 Jun dijangka mengaku bersalah pada 23 Julai.
Orang ramai boleh melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’ dan penjualan peranti ‘vape’ kepada pihak berkuasa melalui Cawangan Peraturan Tembakau HSA di 6684-2036 atau 6684-2037 pada waktu pejabat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg