Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa atas insiden tikam dekat Tampines MRT

Dec 20, 2025 | 3:08 PM
tampines, tikam, tampines mrt
Saksi berkata pandangan mereka terhalang sedikit, tetapi mereka melihat lelaki itu bangun dan berjalan kira-kira 30 meter ke arah pintu masuk MRT, meninggalkan kesan titisan darah pada 19 Disember. - Foto ST

Seorang lelaki, yang ditahan dalam tempoh enam jam selepas kejadian tikaman di Tampines pada 19 Disember, telah didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kecederaan dengan pisau.

Mohamed Sufian Mohamed Sabri, 53 tahun, didakwa di mahkamah pada 20 Disember kerana menggunakan pisau untuk menikam Encik Mohd Hyril Beins, lapor The Straits Times.

Mangsa, yang usianya tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah, mengalami luka di bahagian belakang tubuh sebelah kanan serta lengan kiri.

Kejadian berlaku pada 19 Disember sekitar 5.55 petang, berhampiran kedai kopi U-Taste di Tampines Central 1.

Pada masa itu, kawasan itu sesak dengan penumpang MRT dan pembeli.

Saksi berkata mereka mendengar kekecohan di kawasan berkhemah yang telah didirikan, antara stesen MRT Tampines dengan pusat beli-belah Tampines Mall dan kemudian melihat seorang lelaki berlumuran darah.

Saksi berkata pandangan mereka terhalang sedikit, tetapi mereka melihat lelaki itu bangun dan berjalan kira-kira 30 meter ke arah pintu masuk MRT, meninggalkan kesan titisan darah.

Mangsa dalam keadaan sedar apabila pegawai polis dan paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba di kawasan tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, Sufian sedang menjalani perintah pengurangan, berkuat kuasa dari 4 Oktober hingga 13 Januari 2026, yang dibuat oleh Pesuruhjaya Penjara.

Kebanyakan banduan akan dibebaskan selepas mereka menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka, jika mereka menunjukkan kelakuan dan tingkah laku yang baik di penjara, menurut laman web Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Apabila mereka dibebaskan, mereka akan diberikan Perintah Pengurangan Bersyarat, dengan syarat asas bahawa mereka tidak melakukan kesalahan semula sepanjang tempoh itu.

Sufian dituduh melanggar perintah tersebut berhubung insiden di Tampines itu.

Mereka yang disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang mungkin akan menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Mereka juga mungkin menerima hukuman rotan dan denda.

Banduan yang melanggar perintah pengurangan mereka akan menjalani hukuman dipertingkatkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg