Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa maki, cederakan pegawai polis di Lapangan Terbang Changi

Oct 7, 2025 | 7:24 PM
Josiah Peter Crombie, Changi Airport, abuse police officer,
Warga Canada, Josiah Peter Crombie, 28 tahun, dikenakan tiga tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan secara sengaja untuk menghalang pegawai polis daripada menjalankan tugas, menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam, dan menimbulkan gangguan dalam keadaan mabuk. - Foto fail

Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 7 Oktober atas dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai polis ketika dalam keadaan mabuk di Lapangan Terbang Changi, serta menolak dan mencakar salah seorang daripada mereka.

Warga Canada, Josiah Peter Crombie, 28 tahun, dikenakan tiga tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan secara sengaja bagi menghalang pegawai polis daripada menjalankan tugas, menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam, dan menimbulkan gangguan ketika dalam keadaan mabuk.

Pada 5 Oktober sekitar 9.20 pagi, polis dimaklumkan mengenai seorang lelaki yang didakwa mabuk dan menyebabkan gangguan di ruang awam kawasan berlepas Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Di pintu imigresen timur di kawasan keberangkatan, Crombie, yang dalam keadaan mabuk, hanya mengemukakan pasport dan cuba memasuki kawasan pelepasan tanpa pas masuk penerbangan, menurut dokumen pertuduhan.

Polis berkata Crombie didakwa mengeluarkan kata-kata kesat berulang kali terhadap pegawai polis tambahan yang sedang bertugas, selepas diarahkan untuk menunjukkan pas masuknya.

Meskipun telah beberapa kali diberi amaran supaya menghentikan perbuatan itu, Crombie didakwa tidak mengendahkan arahan tersebut dan kemudian meninggalkan tempat itu.

Apabila pegawai dari Divisyen Polis Lapangan Terbang tiba di tempat kejadian, Crombie didakwa turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka.

Dia juga dikatakan telah menolak dan mencakar salah seorang pegawai, yang mengalami kecederaan ringan pada lengan dan diberikan cuti sakit selama dua hari.

Crombie, yang hadir di prosiding mahkamah melalui pautan video semasa ditahan reman, ditawarkan ikat jamin sebanyak $10,000.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia boleh mendapatkan seorang rakan di Singapura untuk membayar ikat jamin tersebut.

Crombie turut memohon kebenaran untuk kembali ke Canada buat sementara waktu bagi menyelesaikan satu kecemasan.

Seorang pendakwa polis menasihatinya supaya mendapatkan ikat jamin terlebih dahulu sebelum membuat permohonan tersebut.

Kes Crombie akan dibicarakan lagi pada 21 Oktober.

Jika disabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, Crombie boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau dirotan.

Pesalah yang menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam boleh dihukum penjara maksimum 12 bulan, dikenakan denda sehingga $5,000, atau kededuanya sekali.

Mereka yang mabuk dan menyebabkan gangguan pula boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga $1,000, atau kededuanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg