Seorang lelaki berusia 28 tahun telah dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa memasang kamera di dalam tandas di sebuah bangunan perindustrian untuk merakam video wanita.
Tiu Ming Kiat telah dikatakan memasang dua kamera dalam bilik tandas yang sama di sebuah bangunan perindustrian di kawasan Changi antara Julai dan Disember 2022.
Lokasi yang sebenar tidak dapat didedahkan kerana perintah tegahan, atau ‘gag order’. Dokumen mahkamah tidak menyatakan bilangan mangsa atau hubungan mereka dengan Tiu.
Tiu meletakkan satu kamera di siling dan menyembunyikan satu lagi dalam baldi air di bawah besen, mengikut kertas pertuduhan. Dia dikatakan merakam sekurang-kurangnya enam video wanita melakukan perbuatan peribadi.
Polis menerima laporan mengenai perkara itu pada 2 Disember 2022, dan menahan Tiu tiga hari kemudian.
Pada Rabu, dia didakwa atas tiga pertuduhan mengintai atau voyeurisme, termasuk mengendalikan peralatan untuk memerhati seseorang melakukan perbuatan peribadi, dan sengaja merakam perbuatan itu tanpa kebenaran mereka.
Lelaki warga Malaysia itu, yang kini ditahan reman di Divisyen Polis Bedok, menghadiri mahkamah melalui pautan video. Dia berniat untuk mengaku bersalah.
Empat lelaki lain dalam kes voyeurisme berasingan turut dikenakan pertuduhan pada Rabu, menurut kenyataan polis.
Terdapat 424 kes mengintai pada 2022, turun daripada 467 pada 2021, menurut statistik jenayah tahunan yang dikeluarkan oleh polis.
Walaupun jumlah itu merosot, polis berkata kes mengintai kekal menjadi kebimbangan utama.
Seorang jurucakap polis berkata tiada toleransi bagi pesalah seksual, dan mereka akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
Polis menggesa orang ramai supaya melaporkan segera jika ternampak perbuatan mengintai atau menyedari seseorang menjadi mangsa.
Jurucakap polis berkata: “Melaporkan jenayah sebegitu awal adalah penting dalam membantu polis mengenal pasti dan menangkap pelakunya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg