Umat Islam bersatu hati bersama penganut agama Katolik dan semua umat agama lain di Singapura dalam melindungi keselamatan dan kesucian semua tempat ibadat di samping memperkukuh keamanan yang menjadi sandaran setiap ajaran agama.
Demikian jelas Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam warkahnya yang bertarikh 9 November kepada pemimpin Gereja Roman Katolik di Singapura, Cardinal William Goh, menyusuli kejadian mengejutkan seorang paderi ditikam di Gereja St Joseph’s di Bukit Timah.
Dalam kejadian pada 9 November, warga Singapura, Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, didakwa menikam Paderi Christopher Lee di gereja berkenaan ketika perhimpunan melibatkan kanak-kanak berlangsung.
Laman Facebook Harmony Centre telah berkongsi warkah berkenaan di media sosial untuk tatapan umum pada 10 November. Dr Nazirudin melahirkan rasa sedih dan prihatinnya selepas membaca tentang serangan berkenaan.
“Tidak ada tempat bagi sebarang bentuk keganasan, khususnya bukan atas nama sebarang agama dan di ruang ibadat.
“Kami berharap kejadian ini tidak akan digunakan untuk menyemai benih-benih perselisihan faham dan perpecahan dalam masyarakat kita tetapi hanya akan memperkukuh tekad kolektif untuk memelihara keamanan dan keharmonian di Singapura,” tambahnya.
Sambil menyatakan bahawa masyarakat Muslim mendoakan dan mengharapkan agar Paderi Lee cepat sembuh, Dr Nazirudin berharap komuniti Katolik di sini kekal berdaya tahan dan tabah dalam tempoh sebegini.
Sementara itu, menyusuli kejadian berkenaan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut meminta penduduk Singapura agar kekal tenang dan bersatu.
Beliau yang berkongsi pengamatannya di Facebook melahirkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian itu di samping mendoakan penyembuhan penuh dan segera Paderi Lee.
“Keganasan tiada tempat di Singapura. Paling penting, kita mesti menjaga keselamatan dan kesucian tempat ibadat kita - tempat orang ramai mencari kedamaian, ketenangan dan rasa kemasyarakatan.
“Dalam kes ini, nasib baik ada beberapa anggota perhimpunan gereja yang membantu melucutkan senjata penyerang sebelum dia melakukan lebih banyak bahaya. Ramai di situ yang sangat terkejut dengan apa yang berlaku, dan saya harap mereka pulih daripada dijejas peristiwa traumatik ini,” tambah Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg