Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didenda $6,000 kerana tuduhan palsu terhadap Josephine Teo

Jun 6, 2025 | 5:53 PM
Manmeet Singh Bahadar Singh, 57 tahun, mengaku bersalah kerana sengaja melakukan perbuatan yang mengganggu keharmonian kaum.
Manmeet Singh Bahadar Singh, 57 tahun, mengaku bersalah kerana sengaja melakukan perbuatan yang mengganggu keharmonian kaum. - Foto ST

Seorang blogger didenda $6,000 selepas memuat naik video TikTok yang secara palsu mendakwa bahawa Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, telah mengeluarkan kenyataan menghina terhadap orang Melayu. 

Manmeet Singh Bahadar Singh, 57 tahun, mengaku bersalah pada 6 Jun kerana dengan sengaja melakukan tindakan yang mengganggu keharmonian antara kumpulan etnik yang berbeza, lapor The Straits Times (ST).

Manmeet memuat naik video di TikTok pada 12 Ogos 2024, selepas menerima pautan ke sebuah blog WordPress melalui khidmat pemesejan WhatsApp daripada seseorang yang tidak dikenali. 

Blog itu mendakwa bahawa Cik Teo telah mengeluarkan kenyataan menghina terhadap orang Melayu, apabila ditanya tentang kemajuan kaum semasa temu ramah dengan media Cina mengenai pembangunan Singapura sejak 1965.

Manmeet berasa tersinggung dan memuat naik video TikTok yang mengandungi kata-kata “Menteri Josephine Teo secara tidak sengaja berkata ‘Orang Melayu *****’ dalam temu ramah Cina”, tanpa mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

Singh mengulangi dakwaan catatan blog itu dalam videonya dan memberitahu mereka yang menonton supaya “cari maklumat mengenainya”.

Akaun TikToknya mempunyai lebih 9,000 pengikut ketika video itu dimuat naik dan berada dalam talian buat tempoh yang lama.

Rakan sekerja Cik Teo dan seorang wartawan terlihat video tersebut dan menyoal menteri itu mengenainya.

Empat jam selepas video itu dimuat naik, Cik Teo memaklumkan setiausaha akhbarnya, yang kemudian membuat laporan polis selepas memuat turun salinan video itu.

Menyedari dakwaannya tidak benar, Manmeet telah memadam video TikTok itu pada hari yang sama.

Dia kemudian memuat naik video permohonan maaf kepada Cik Teo, mengakui bahawa dakwaannya adalah palsu. 

Cik Teo menggunakan pelbagai platform media sosial untuk menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak benar.

Manmeet telah ditangkap pada 4 Februari dan dibebaskan dengan ikat jamin pada keesokan harinya.

Bagi kesalahan mengganggu keharmonian kaum, seseorang pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan kepada media, Cik Teo berkata: “Ketika membesar pada 1970-an, saya telah melihat sendiri betapa berharganya – dan rapuhnya – keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat yang pelbagai ini.

“Sebab itu saya tidak mengambil mudah hubungan persahabatan dengan rakan sekolah, rakan sekerja dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai agama atau kaum.”

Beliau menambah bahawa dakwaan yang dibuat Manmeet terhadapnya adalah serius dan telah memberi kesan negatif kepada persahabatan itu.

“Selain perasaan saya tersinggung, saya amat bimbang mengenai sakit yang dirasakan rakan-rakan saya sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan,” katanya sambil menambah bahawa atas sebab itulah, setiausaha akhbarnya membuat laporan polis.

“Dengan hukuman ini, saya harap dapat melupakan episod ini. Dunia ini terancam retak dengan pelbagai kebencian dan konflik.

“Saya harap episod ini mengingatkan kita semua supaya berhati-hati agar tidak menyebarkan perpecahan, demi keharmonian,” tambah Cik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg