Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara gara-gara tampar budak 6 tahun di Westgate

Oct 9, 2025 | 7:19 PM
lelaki pukul budak, westage, child, slap
Seorang lelaki warga Singapura berusia 39 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 9 Oktober. Dia mengaku bersalah pada 20 Ogos atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja. - Foto fail

Tidak puas hati dengan tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menendang dinding stirofoam di sebuah pusat beli-belah hingga menyebabkan anak perempuannya terjatuh, seorang lelaki menampar muka kanak-kanak itu hingga lebam.

Gara-gara tindakannya, lelaki warga Singapura berusia 39 tahun itu dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 9 Oktober. 

Dia sebelum itu mengaku bersalah pada 20 Ogos atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Identiti lelaki itu tidak boleh didedahkan bagi melindungi anak perempuannya, yang ketika kejadian berusia sekitar tiga tahun.

Anak perempuannya itu dirujuk sebagai X1 dalam dokumen mahkamah, lapor The Straits Times (ST).

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Janet Wang, menyifatkan serangan itu sebagai tidak wajar dan tidak bersebab.

“Meskipun tertuduh marah dengan (tindakan) mangsa… reaksi ini keterlaluan,” kata Hakim Wang.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa lelaki itu, isterinya dan tiga anak perempuan mereka berada di taman permainan di pusat beli-belah Westgate, Jurong, pada 22 Disember 2024.

Sekitar 2.30 petang, lelaki itu melihat kanak-kanak tersebut menendang dinding yang diperbuat daripada blok stirofoam berwarna-warni, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada anaknya berdiri berhampiran dinding itu.

“Tidak lama kemudian… X1… berjalan ke arah dinding tersebut dan berdiri di situ. Beberapa saat kemudian, mangsa berlari ke arah dinding itu dan menendangnya semasa X1 berada di belakang dinding itu. Kejadian ini menyebabkan X1 jatuh ke lantai.

“Mangsa menendang dinding tersebut meskipun dia tahu X1 berada di belakangnya, kerana dia percaya X1 telah merosakkan dinding stirofoam yang dibinanya sebelum itu.”

Menurut DPP Loy, lelaki itu menghampiri kanak-kanak tersebut dan menampar pipi kanannya dengan kuat, menyebabkan lebam.

Lelaki itu kemudian bertanya kanak-kanak itu di mana ibu bapanya dan kanak-kanak itu membawanya kepada ibunya.

Lelaki itu memberitahu perkara yang berlaku kepada ibu kanak-kanak itu, tanpa mendedahkan bahawa dia telah menampar anak tersebut. 

Seorang saksi kemudian mendedahkan kepada rakan ibu itu bahawa budak itu ditampar, dan ibu berkenaan kemudian mencari lelaki tersebut.

“(Ibu itu) kemudian menghampiri mangsa untuk memastikan jika tertuduh itu yang telah menamparnya. (Kanak-kanak itu) mengesahkan perkara itu sambil menangis,” kata pendakwa.

Wanita itu membuat laporan polis, dan suspek ditangkap sekitar 4 petang hari tersebut.

Pada 20 Ogos, DPP Loy mencadangkan hukuman penjara antara enam dengan tujuh minggu.

Dalam rayuan, peguam lelaki itu, Encik Nidesh Muralidharan, memohon agar anak guamnya hanya dikenakan denda.

“Ia bukan satu tindakan agresif tanpa sebab. Ia amat disesali dan berlaku dalam sekelip mata oleh seorang bapa yang baru menyaksikan anaknya terjatuh,” jelas Encik Nidesh.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Wang berkata keganasan terhadap kanak-kanak tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Setiap kanak-kanak berharga di mata ibu bapa mereka. Namun, kebaikan sebenar terletak pada sifat empati dan memaafkan orang lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg