Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki serang isteri hingga pelbagai tulang mangsa retak

Sep 24, 2025 | 8:17 PM
Au Yong Khin Mun mengaku bersalah pada 24 September atas tuduhan menyebabkan cedera parah dengan sengaja.
Au Yong Khin Mun mengaku bersalah pada 24 September atas tuduhan menyebabkan cedera parah dengan sengaja. - Foto ST

Seorang bapa tiga anak kecil mengaku bersalah atas tuduhan menyerang isterinya, dalam satu kejadian yang menyebabkan wanita berusia 38 tahun itu mengalami pelbagai keretakan tulang.

Au Yong Khin Mun, 39 tahun, mengaku bersalah pada 24 September atas kesalahan menyebabkan cedera parah dengan sengaja.

Peguam bela Raphael Louis berkata Au Yong dan isterinya sedang dalam proses perceraian.

Insiden itu berlaku pada 2 Disember 2024 di sebuah kantin di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) di Changi, lapor The Straits Times.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suriya Prakash, pasangan itu berada di kantin SUTD sekitar 9 pagi untuk bersarapan selepas menghantar anak kembar perempuan mereka yang berusia empat tahun ke prasekolah berhampiran.

Pasangan itu, yang telah berumah tangga selama lima tahun, juga mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Semasa berbual ketika sarapan, Au Yong memberitahu isterinya dia mahu menggunakan hasil jualan kondominium mereka untuk melangsaikan hutang kad kreditnya. 

Namun, isterinya tidak bersetuju dan menegaskan wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

DPP Suriya berkata Au Yong berang dengan jawapan tersebut lalu cuba menampar isterinya dua kali dari seberang meja.

“Apabila tamparan itu tidak mengena... tertuduh bangun dari tempat duduknya, berjalan ke arah mangsa lalu menampar kepala mangsa sebanyak lima kali dengan tangan kirinya,” kata pendakwa.

Dia juga memukul bahagian belakang isterinya empat kali dengan tangan kanan, dan meneruskan serangan itu walaupun mangsa cuba melarikan diri.

Ketika mangsa berpaling daripadanya, Au Yong memukul kepala isterinya dengan secawan kopi ais dan sepinggan makanan, sebelum menampar kepala mangsa dua kali lagi, menendang belakangnya dengan lutut sebanyak dua kali, serta memegang kedua-dua lengannya lalu membantingnya ke lantai.

“(Au Yong) tidak memberi sebarang bantuan meskipun mangsa terbaring kesakitan, sebaliknya terus bertengkar dengannya selama sekitar 90 saat, sementara orang awam membantu mangsa bangun,” tambah DPP Suriya.

Mangsa mengalami keretakan pada muka, tulang selangka kiri serta beberapa tulang rusuk, dan dirawat di Hospital Besar Changi hingga 7 Disember 2024.

Pihak pendakwaan menuntut hukuman penjara antara 24 dengan 26 bulan serta enam sebatan.

Serangan itu disifatkan sebagai “amat pengecut” kerana Au Yong menunggu sehingga mangsa berpaling sebelum menyerangnya.

Tertuduh akan dijatuhkan hukuman pada 6 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg