Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel 6 bulan cuba seludup rakan keluar S’pura selepas pasport dirampas

Aug 18, 2025 | 5:58 PM
Singapura, jenayah, pasport, pusat pemeriksaan
Mohammad Fakaruddin Mohd Rosli, 31 tahun, berdepan dua pertuduhan kerana mengimport produk tembakau ke Singapura serta gagal mengemukakan pasportnya di pusat pemeriksaan.  - Foto fail

Dihimpit rasa simpati, seorang lelaki cuba membantu rakannya sejak kecil melarikan diri ke Malaysia.

Dia menyembunyikan temannya itu di dalam lori pada Jun tatkala kawannya sedang disiasat atas kes menyeludup vape ke Singapura.

Kedua-dua lelaki itu telah ditahan oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Pada 18 Ogos, Ahmad Naqib Adenauer, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan seseorang untuk meninggalkan Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Mahkamah diberitahu Naqib, seorang warga Malaysia, telah memandu lori ke Singapura pada 12 Jun, namun tujuan kedatangannya ke negara ini tidak dinyatakan.

Semasa berada di Singapura, dia dihubungi oleh rakan yang telah dikenalinya sejak kecil, Mohammad Fakaruddin Mohd Rosli, 31 tahun, dan bersetuju untuk berjumpa dengannya di Geylang.

Apabila mereka bertemu, Fakaruddin memberitahu Naqib dia sedang disiasat oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan tidak dapat meninggalkan negara kerana pasportnya telah dirampas.

Fakaruddin kemudian merayu kepada Naqib agar membantunya, dengan alasan dia rindukan kampung halaman dan ingin pulang ke Malaysia.

Menurut pihak pendakwa, meskipun pada mulanya Naqib menolak permintaan Fakaruddin, dia kemudian bersimpati dengan Fakaruddin dan bersetuju untuk membantu.

Pada hari yang sama, Naqib menyuruh Fakaruddin bersembunyi dalam ruang kargo lori milknya, sebelum mereka menuju ke Pusat Pemeriksaan Tuas untuk pulang ke Malaysia.

Namun, rancangan mereka digagalkan oleh pegawai ICA di pusat pemeriksaan selepas lori itu menjalani pemeriksaan.

Pihak pendakwaan menekankan bahawa Naqib tidak merancang untuk membantu Fakaruddin bagi tujuan keuntungan kewangan, sebaliknya dia bertindak kerana rasa kasihan terhadap rakan yang sudah lama dia kenali. 

Seorang jurucakap berkata ICA mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang cuba memasuki atau meninggalkan Singapura secara haram, serta mereka yang bersubahat dalam perbuatan tersebut.

ICA memberi amaran bahawa sesiapa yang didapati bersubahat membantu individu lain meninggalkan Singapura dan melanggar Akta Imigresen boleh berdepan hukuman penjara hingga dua tahun dan denda hingga $6,000.

Fakaruddin berdepan dua pertuduhan kerana mengimport produk tembakau ke Singapura – yang terdiri daripada 8,400 pod vape; 4,430 vape pakai buang; 350 kotak peranti vape; dan 1,150 bekas vape.

Dia juga berdepan satu pertuduhan kerana gagal mengemukakan pasportnya di pusat pemeriksaan semasa ditahan bersama Naqib. 

Fakaruddin dijadual kembali ke mahkamah pada 11 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg