Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel enam bulan, siar kandungan anti-Islam

Dec 23, 2024 | 6:11 PM
Chua Wang Cheng, dijatuhi hukuman penjara  pada 23 Disember setelah  mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan dan dua pertuduhan iaitu berkongsi kandungan dengan niat sengaja melukai perasaan umat Islam.
Chua Wang Cheng, dijatuhi hukuman penjara pada 23 Disember setelah mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan dan dua pertuduhan iaitu berkongsi kandungan dengan niat sengaja melukai perasaan umat Islam. - Foto fail

Seorang lelaki berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 23 Disember setelah dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan dan dua pertuduhan iaitu berkongsi kandungan dengan niat sengaja melukai perasaan umat Islam.

Menurut laporan The Straits Times (ST), empat pertuduhan lain dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman ke atas lelaki terbabit, Chua Wang Cheng, yang dikenali sebagai Cai Wangchen.

Chua didapati menggunakan butiran orang lain yang dikenalinya sebelum ini untuk mencipta akaun media sosial yang palsu, dan memuat naik kandungan dan video YouTube berbaur anti-Islam.

Mangsa tersebut menghubungi polis sekurang-kurangnya dua kali dan akibat tindakan Chua, beliau mengalami antaranya, kecederaan psikologi.

Pendakwa raya berhujah bahawa walaupun Chua tidak menghasilkan video itu, dia berkongsinya dengan niat sengaja melukai perasaan pengguna Facebook beragama Islam.

Hakim Daerah Carol Ling berkata walaupun Chua mempunyai ciri-ciri autistik tahap ringan, Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati bahawa pada masa kesalahan itu dilakukan, dia tidak mempunyai gangguan mental aktif yang menyumbang kepada kelakuannya.

Chua bertemu mangsa, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, pada 2011 ketika berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara (NS).

Dia mendapati mangsa sombong dan menyindir serta berdendam terhadapnya.

Pada Februari 2019, Chua mencipta akaun Facebook menggunakan nama dan gambar mangsa dan menambah lebih 600 pengguna Facebook sebagai ‘rakan’.

Dia kemudian membuat beberapa hantaran yang menimbulkan kebencian dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di Singapura.

Selepas polis menerima aduan, mangsa dipanggil untuk memberi keterangan.

Mangsa berkata akaun Facebook itu bukan miliknya dan membuat laporan polis pada hari yang sama.

Apabila beberapa pengguna Facebook mengulas bahawa akaun itu palsu, Chua menyahaktifkannya pada September 2019.

Namun tidak lama kemudian, dia mencipta satu lagi akaun Facebook, sekali lagi menggunakan nama dan gambar mangsa dan menyiarkan lebih banyak kandungan yang melukai perasaan keagamaan.

Chua berkata dia “rasa sangat seronok untuk menyiarkan kandungan anti-Muslim” dalam mesej WeChat yang dihantarnya kepada seseorang individu yang tidak dikenali.

Pada November 2019, Chua berkongsi dua video YouTube dengan kandungan anti-Islam dan terus-menerus menyiarkan kandungan berbaur hasutan.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mendapati salah satu video itu dibuat dengan niat memperlekehkan agama Islam.

Ia mengandungi kenyataan yang menghina Islam, Nabi Muhammad saw dan masyarakat Islam secara amnya.

Pada Oktober 2020, tiga individu membuat laporan polis dan mangsa dipanggil semula.

Polis akhirnya mendapati bahawa Chua adalah dalang di sebalik hantaran sedemikian dan menangkapnya.

Ketika disoal siasat polis, Chua mengaku melakukan kesalahan itu.

Dia berkata dia sengaja menyiarkan kandungan di bawah nama mangsa kerana dia tidak menyukainya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg