Seorang lelaki yang memandu secara berbahaya dengan menghalang dan membrek di depan sebuah motosikal pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam di eksprewe, tidak menunjukkan sebarang kekesalan meskipun telah menyebabkan kematian seorang pembonceng wanita berusia 18 tahun.
Apabila rakannya berkata dia ‘gila’ kerana bermain dengan nyawa orang, pemandu itu menjawab, mangsa “berhak menerimanya” kerana telah mencabarnya.
Jarrett Tee Lee Kiat, 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan pada 27 Jun, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Cik Leann Lim Jia Le.
Cik Lim, seorang pelajar, sedang membonceng motosikal yang ditunggang Encik Kovan Tan, 27 tahun, ketika Tee membelok secara tiba-tiba ke arah mereka.
Tindakan itu menyebabkan Cik Lim terpelanting ke atas jalan, manakala Encik Tan cedera dan luka di beberapa anggota badan.
Selain hukuman penjara, Tee juga dikenakan larangan memandu selama 10 tahun.
Pada masa kejadian, Tee merupakan pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), seorang tukang masak sambilan dan pempengaruh media sosial.
Pada 23 Februari 2024, Tee mengajak Encik Vincent Loh untuk melakukan kegiatan ‘grounding’ – istilah slanga yang merujuk kepada perbuatan memandu tanpa hala tuju – bersama dua remaja perempuan berusia 16 tahun.
Encik Loh bersetuju dan mereka bertemu di Sembawang sebelum Tee dan Encik Loh memandu secara berasingan.
Cik Lim dan teman lelakinya, 16 tahun, kemudian menyertai kumpulan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Tee membawa salah seorang remaja perempuan dan teman lelaki Cik Lim di dalam kereta Mercedes-Benz yang disewanya, manakala Encik Tan menunggang motosikal yang dibonceng Cik Lim.
Kedua-dua kenderaan itu memandu di Ekspreswe East Coast Parkway (ECP) untuk bertemu dengan Encik Loh dan seorang lagi remaja perempuan di Taman East Coast.
Dalam perjalanan ke sana, Tee berlumba dengan motosikal Encik Tan, sehingga mencecah kelajuan 160 kilometer sejam, sebelum melakukan aksi menghalang dan membrek secara berbahaya, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Paul Chia.
Apabila Tee melihat motosikal itu hampir memotongnya, dia membelok secara tiba-tiba untuk menghalang motosikal itu sehingga menyebabkan pelanggaran yang mencampakkan Encik Tan dan Cik Lim sejauh kira-kira 5 hingga 8 meter.
Cik Lim mengalami kecederaan otak yang serius dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Tee ditahan di lokasi kejadian dan berbohong kepada pihak polis dengan mendakwa bahawa motosikal berkenaan “mengekori (keretanya dengan) rapat dan menyalakan lampu terang (ke arahnya)”.
Tee kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Dalam hujah pendakwaan, DPP Chia berkata fakta dalam kes ini menggambarkan “antara contoh paling buruk bagi kesalahan memandu secara berbahaya”.
Mereka yang disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, boleh dikenakan hukuman penjara antara dua dengan lapan tahun, serta dibatalkan kelayakan memandu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg