Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel sebabkan nahas hingga polis bantuan kini terlantar, hilang daya kognitif

Mar 17, 2025 | 3:42 PM
Yoong Kok Kai, 44 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah kerana memandu secara berbahaya dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Yoong Kok Kai, 44 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah kerana memandu secara berbahaya dan memandu di bawah pengaruh alkohol. - Foto ST

Selepas lebih tujuh jam minum arak di tiga lokasi berbeza, seorang lelaki memandu keretanya untuk pulang.

Atas sebab yang tidak dinyatakan, Yoong Kok Kai, 44 tahun, sebaliknya tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas dengan memandu melebihi 100 kilometer sejam (km/j).

Yoong hilang kawalan ke atas kereta Lexusnya sebelum melanggar seorang pegawai polis bantuan – menyebabkan pegawai itu berada dalam keadaan vegetatif, atau keadaan ‘berjaga tanpa sedar’, serta mengakibatkan kerosakan harta benda bernilai lebih $37,290.

“Ini adalah kemalangan yang sia-sia dan tragis yang berpunca daripada tindakan tertuduh – bukan sahaja untuk minum (arak), tetapi juga memandu,” kata Hakim Daerah Kok Shu-En.

Pada 17 Mac, Yoong dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan.

Dia juga hilang kelayakan memiliki semua kelas lesen memandu selama 10 tahun setelah dibebaskan, lapor The Straits Times (ST).

Yoong mengaku bersalah pada 27 Februari atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah akibat memandu secara berbahaya dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mangsa, Encik Ng Yi Shu, 30 tahun, yang sedang bertugas ketika kemalangan itu, mengalami kecederaan otak traumatik.

Beliau kini terlantar, tidak dapat berkomunikasi dan perlu diberi makan melalui tiub hidung.

“Lelaki muda ini masih hidup, namun mutu kehidupannya telah musnah tanpa dapat dipulihkan,” kata hakim, sambil menambah keluarga Encik Ng perlu menanggung kesan tindakan cuai Yoong sepanjang hayat mereka.

Yoong mula minum arak pada 5 petang, 23 Mac 2023, di sebuah restoran berhampiran Beach Road, menikmati bir, wiski dan kemudian berkongsi bir 3 liter di sebuah KTV.

Selepas lebih tujuh jam minum, dia memandu pulang ke arah Yishun dan didapati memandu di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada kelajuan 134km/j sekitar 12.30 tengah malam.

Dia kemudian memecut di Pusat Pemeriksaan Tuas, dengan kelajuan mencecah 119km/j – lebih dua kali ganda had laju 50km/j.

Encik Ng, seorang pegawai polis bantuan, melihat kereta Yoong memecut ke arahnya dan cuba mengelak dengan bersembunyi di belakang tonggak jalan dan gantri keselamatan.

Yoong hilang kawalan ketika menghampiri selekoh, lalu melanggar pembahagi jalan sebelum naik ke atas kaki lima dan merempuh Encik Ng.

Kesan pelanggaran itu menyebabkan tonggak jalan, gantri, pagar dan lampu isyarat tercampak. Encik Ng terlambung ke udara sebelum jatuh tersembam.

Mangsa mengalami kecederaan otak traumatik serius dan tulang mukanya patah teruk, dan kini berada dalam keadaan vegetatif.

Encik Ng akan kekal tidak berupaya dan “sehingga beliau meninggal dunia, beliau memerlukan penjagaan dan bantuan dalam semua aspek kehidupan seharian”, jelas pihak pendakwaan.

Yoong ditangkap dengan kadar alkohol dalam darah sebanyak 153 miligram bagi setiap 100 mililiter darah, melebihi had 80 miligram.

Sehingga 30 Januari, bil hospital Encik Ng telah melebihi $455,000. 

Yoong juga belum membuat sebarang pembayaran balik kerosakan melebihi $37,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg