Seorang pencuri yang ditangkap pada 2024 berhadapan kesalahan lebih serius, apabila pihak berkuasa mendapati dia telah menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam sebilangan video melibatkan dua anak tiri perempuannya ketika mereka berada di bilik mandi rumah mereka.
Ketika kesalahan itu dilakukan, anak tirinya yang lebih muda berusia 12 tahun, manakala kakaknya berusia antara 16 dengan 17 tahun.
Pada 5 Mei, lelaki berusia 44 tahun itu dijatuhi hukuman penjara setahun, 11 bulan dan 15 hari selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengintai dua anak tirinya itu.
Selain itu, lelaki itu juga telah mencuri barangan seperti pakaian dalam wanita dan mengaku bersalah atas dua tuduhan mencuri.
Lelaki itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti kededua anak tirinya, lapor The Straits Times.
Sebelum ini, lelaki itu pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Samuel Chew berkata pada 2001, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan tersebut.
Namun, butiran kes itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Bagi kes terkini, mahkamah dimaklumkan lelaki itu berkahwin dengan ibu kepada kededua anak tirinya itu pada 2019.
Mereka tinggal bersama di sebuah flat perumahan awam, berhampiran Bedok Reservoir Road.
Dalam beberapa kejadian antara Januari dengan September 2022, dia memetik 21 gambar anak tiri perempuannya yang lebih tua, ketika remaja itu menggunakan tandas di rumah mereka.
Dia turut memetik lima gambar mangsa, yang sedang tidur di bilik, dalam keadaan sebahagian tubuhnya terdedah.
Dari Disember 2022 hingga Julai 2023, dia memetik empat gambar dan merakam lima video gadis itu, ketika mangsa menggunakan tandas.
DPP Chew berkata: “Bagi gambar dan video yang diambil ketika gadis tersebut berada di dalam tandas, tertuduh mengaku bahawa dia merakam kandungan melalui celah pintu.”
Lelaki itu turut menggunakan kaedah yang sama untuk merakam anak tiri perempuannya yang lebih muda pada 23 Julai 2023, ketika mangsa berada di bilik mandi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg