Seorang lelaki warga Singapura berusia 26 tahun dilarang daripada menjalankan sebarang aktiviti kutipan derma selepas didapati melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan.
Bermula 10 Jun, Eugene Liow Chia Hau tidak lagi dibenarkan mengutip dana bagi tujuan kebajikan, kemanusiaan atau dermawan, menurut kenyataan bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada hari yang sama.
Perintah larangan itu pertama kali diterbitkan dalam warta elektronik pada 9 Jun dan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Amal (COC).
The Straits Times telah menghubungi MCCY bagi mendapatkan maklumat lanjut selepas notis tersebut diterbitkan.
Dalam kenyataan bertarikh 10 Jun, kedua-dua kementerian menjelaskan bahawa COC menerima beberapa maklum balas dari Julai 2023 hingga Januari 2024 berkaitan rayuan kutipan dana yang dijalankan oleh Direct Hope, yang diusahakan oleh Liow.
Direct Hope dilantik sebagai pemungut dana komersial oleh pertubuhan belia kebajikan, Bilby Community Development, pada Mei 2023 hingga Januari 2024.
Maklum balas yang diterima mendorong MSF menjalankan siasatan, yang kemudian mendapati Liow telah melanggar pelbagai peraturan di bawah Peraturan-peraturan (Rayuan Pengumpulan Dana untuk Tujuan Amal Tempatan dan Luar Negara) 2012. ‘Charities Regulation 2012.’
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kegagalan melaksanakan langkah kawalan dan perlindungan bagi memastikan akauntabiliti sumbangan yang diterima oleh Direct Hope, serta ketiadaan mekanisme untuk mencegah kehilangan atau kecurian dana.
Liow juga gagal menyimpan rekod perakaunan yang lengkap bagi rayuan kutipan dana yang dijalankan dan tidak mempunyai senarai butiran peribadi individu yang membantu Direct Hope dalam usaha kutipan derma.
Direct Hope, yang didaftarkan sebagai pemilik tunggal, bukan merupakan sebuah badan amal berdaftar.
Rekod perniagaan menunjukkan bahawa aktiviti utama entiti itu ialah “perkhidmatan sosial lain tanpa penginapan”.
Aktiviti lain yang dijalankan termasuk penjualan kraftangan, barangan koleksi dan hadiah.
Diasaskan pada Ogos 2021, lesen perniagaan Direct Hope telah tamat tempoh pada Ogos 2024 dan tidak diperbaharui.
Semakan yang telah dilakukan atas laman webnya menunjukkan ia kini tidak lagi aktif.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg