Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 minggu kerana merakam video bawah skirt empat wanita semasa berada di pusat beli-belah VivoCity bersama isterinya.

Tertuduh, Pua Thiam Guan, mengaku bersalah pada 9 Jun atas empat tuduhan perbuatan intai yang dilakukan pada 20 Februari 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Johan Tay menjelaskan bahawa lelaki berusia 57 tahun itu mula mengaktifkan fungsi rakaman pada telefon bimbitnya sebaik sahaja memasuki kedai Watsons.

Di situ, dia merakam seorang wanita yang memakai seluar pendek.

Semasa siasatan polis, Pua mengakui perbuatan itu dilakukan demi kepuasan seksual, dengan rakaman memaparkan wajah serta anggota badan mangsa.

Selepas meninggalkan Watsons, dia menuju ke pawagam Golden Village yang sesak dengan pengunjung.

Di kawasan lobi, dia sekali lagi merakam video bawah skirt tiga lagi mangsa sebelum perbuatannya disedari salah seorang daripada mereka yang kemudian bersemuka dengannya.

Wanita berkenaan merampas telefon bimbit Pua, dan rakannya segera menahan lelaki itu sehingga polis tiba.

Hasil pemeriksaan telefon bimbit Pua mendedahkan tujuh kejadian intai berasingan antara Januari dengan Februari 2022, selain 165 video lucah yang dimuat turun.

Kesalahan intai boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, sebatan, atau gabungan hukuman tersebut.