Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditahan cederakan bapa pemain bola sepak selepas perlawanan

Mangsa dakwa dirinya dipukul dengan kerusi selepas perlawanan antara Geylang International, Albirex pada 11 Mei
May 13, 2025 | 4:01 PM
Daniel Tay, SYL, bola sepak, didakwa dipukul
Daniel Tay, seorang bapa kepada salah satu pemain Albirex, mengalami kecederaan di bahagian mata kiri dan tulang pipi, dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Besar Sengkang (SKH) selepas perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) antara Geylang dan Albirex pada 11 Mei. - Foto ihsan DANIEL TAY

Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kecederaan, selepas seorang bapa kepada pemain bola sepak belia mendakwa dirinya dipukul dengan kerusi selepas perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) pada 11 Mei.

Kejadian berlaku di luar Sekolah Menengah Seng Kang selepas perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) Bawah 14 tahun antara pasukan Geylang International dan Albirex Singapore Football Academy, yang menyaksikan Geylang menang 8-0.

SYL merupakan pertandingan bola sepak belia dan ia merupakan satu inisiatif di bawah Unleash The Roar! (UTR) projek bola sepak kebangsaan yang dikendalikan bersama oleh Majlis Sukan Singapura dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS)

Apabila ditanya Berita Harian (BH), pihak polis berkata mereka menerima panggilan kecemasan di 10 Compassvale Lane pada sekitar jam 7.15 malam, 11 Mei.

“Seorang lelaki berusia 51 tahun telah dihantar ke hospital dalam keadaan sedar. Seorang lagi lelaki berusia 46 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kecederaan. Siasatan polis masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Mangsa dikenali sebagai Daniel Tay – berusia sekitar 50-an dan bapa kepada salah seorang pemain Albirex.

Beliau berkata kejadian berlaku selepas perlawanan apabila seorang bapa pemain Geylang didakwa menyerangnya menggunakan kerusi lipat besi.

Menurut Tay, seorang ibu kepada pemain Albirex telah menghampiri jurulatih Geylang sebaik tamat perlawanan untuk meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa dirinya dihina oleh beberapa pemain Geylang semasa permainan berlangsung.

Tay kata jurulatih Geylang tersebut telah memohon maaf atas kelakuan pemainnya.

Namun, sewaktu wanita itu beredar, sekumpulan ibu bapa pemain Geylang dikatakan mengganggunya.

Tay yang menyaksikan kejadian itu, tampil ke hadapan untuk menenangkan keadaan dan menegur kumpulan terbabit kerana mengganggu wanita tersebut.

Keadaan kemudian menjadi tegang apabila kumpulan itu mula memarahinya pula, namun tiada insiden fizikal berlaku pada waktu itu.

Tay berkata beliau kemudian berjalan keluar dari kawasan sekolah bersama pegawai perlawanan. Ketika itu, beliau mendakwa dirinya dipukul dengan kerusi lipat besi.

Beliau mengalami kecederaan di bahagian mata kiri dan tulang pipi, dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Besar Sengkang (SKH).

Laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian itu.

Albirex mengeluarkan kenyataan di Facebook: “Kelab ini mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan terhadap pemain, jurulatih, ibu bapa dan penyokong kami. Kami komited memastikan persekitaran yang selamat untuk semua.”

SYL turut mengeluarkan kenyataan di media sosial, memaklumkan bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai insiden pergaduhan antara penyokong selepas perlawanan.

Mereka turut menyatakan bahawa mereka sedang berhubung dengan kededua kelab dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami ingin mengingatkan semua pemain dan penyokong untuk menghormati peraturan liga dan mengelakkan daripada berkelakuan ganas.

Keganasan tidak akan diterima dan kami tidak akan teragak-agak melaporkan kejadian sedemikian kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Kelab Geylang turut mengeluarkan kenyataan pada 12 Mei, menyatakan bahawa mereka memandang insiden sebegini dengan serius.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg