Tertarik dengan janji mendapatkan wang dengan mudah, seorang lelaki bersetuju menjadi ‘pengarah penama’ bagi beberapa syarikat, dan salah satu daripadanya kemudian memproses hasil penipuan berjumlah AS$1 juta ($1.3 juta) dalam akaun banknya.
Tan Yew Sin, 24 tahun, juga cuba memasukkan kiriman wang tunai lebih $7 juta hasil penipuan bagi syarikat lain.
Menurut mahkamah, kededua syarikat itu, iaitu Accord Technology dan Huachang Trading, didapati sebagai syarikat palsu tanpa kegiatan perniagaan sah.
Pada 10 November, Tan, seorang warga Singapura, dijatuhi hukuman penjara dua tahun tiga bulan selepas mengaku bersalah atas beberapa tuduhan, termasuk menerima manfaat daripada kegiatan jenayah, lapor The Straits Times (ST).
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Grace Teo berkata Tan telah menjawab iklan kerja di Telegram pada Mei 2021.
Dia lalu dihubungkan dengan seorang individu bernama Lerex, yang menawarkan $5,000 untuk menjadi pengarah bagi “orang luar negara yang ingin berniaga di Singapura”.
Tan bersetuju tanpa bertanya lanjut dan menyerahkan maklumat peribadinya.
Pada 30 Ogos tahun sama (2021), Tan dilantik sebagai pengarah tempatan tunggal bagi dua syarikat, termasuk Accord Technology, dan membenarkan Lerex membuka akaun bank atas namanya.
Dia menerima jumlah keseluruhan $5,000 kerana bersetuju menjadi pengarah penama mereka.
DPP berkata Tan membenarkan Lerex membuka akaun bank atas namanya dan memberi semua maklumat log masuk tanpa pernah menggunakannya.
Menurutnya, Tan bimbang akaun itu disalah guna tetapi tetap percaya jaminan Lerex tanpa membuat semakan.
Pada 24 September 2021, seorang wakil syarikat S&B Engineers and Constructors membuat aduan di Amerika Syarikat kepada Biro Siasatan Federal (FBI).
Aduan itu mendakwa pelanggan mereka, Bia Energy Operating Company, telah menjadi mangsa penipuan e-mel perniagaan.
Akibatnya, AS$1 juta dipindahkan daripada akaun di Amerika ke akaun Accord Technology.
Tidak lama kemudian, akaun itu menerima AS$1 juta hasil penipuan e-mel perniagaan terhadap syarikat Amerika, Bia Energy Operating Company.
Sebahagian besar dana dipindahkan ke akaun di China sebelum pihak berkuasa bertindak dan menyita baki lebih AS$350,000.
Kebanyakan jumlah wang dipulangkan kepada Bia Energy Operating Company.
Dalam kes lain, Lerex menawarkan tambahan $10,000 kepada Tan untuk membantu dalam kiriman wang lebih $7 juta bagi Huachang Trading.
Walaupun curiga, Tan tetap bersetuju kerana mahukan wang mudah dan cepat.
Dia dilantik sebagai pengarah Huachang Trading pada September 2021 dan diarahkan mengutip kiriman wang itu daripada seorang individu tidak dikenali.
Tan gagal memasukkannya selepas beberapa percubaan dan akhirnya menyerahkan semula kiriman itu.
Siasatan menunjukkan pemindahan wang itu dilakukan daripada akaun Bank of New York Mellon (BNYM) ke salah satu akaun bank Huachang Trading hasil penipuan dalam talian yang melibatkan pelanggan BNYM, University of Illinois (UOI).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg