Penduduk Tampines boleh menantikan pengalaman beli-belah bak melalui ‘Pasar Jalanan Osaka’ apabila mereka melawat Tampines Mall, Century Square atau pergi bekerja di pusat bandar Tampines pada masa depan.
Di samping itu, pelbagai agensi sedang mengkaji rancangan membina sebuah hab pengangkutan bersepadu baru yang bakal merangkumi laluan pejalan kaki antara stesen MRT Tampines dan pusat beli-belah berdekatan, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Rancangan itu sebahagian daripada pelan induk lima tahun yang dibangunkan oleh Majlis Bandaran Tampines, yang diumumkan pada 22 Februari oleh Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
Bercakap di pelancaran pelan itu di Blok 633 Tampines North Drive 2, beliau berkata usaha sedang dijalankan bagi membangunkan kawasan Pusat Bandar Tampines menjadi sebuah ruang mesra untuk bekerja, beriadah dan menjalin kehidupan masyarakat.
“Bayangkan pusat bandar mesra pejalan kaki sepenuhnya, tempat keluarga bersiar-siar, penunggang basikal dapat berkayuh dan perniagaan berkembang maju dalam persekitaran meriah dan hijau.
“Dalam hab pengangkutan bersepadu baru itu, keluarga boleh meneroka gerai-gerai yang meriah, hip cafe dan menikmati kehijauan yang subur, melalui Pasar Jalanan Osaka yang mengikut gaya Singapura sendiri.
“Tidak perlu berebut mencari tempat letak kereta kerana apabila anda tinggal, bekerja atau bermain di Tampines. Anda boleh berbuat demikian tanpa kereta,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Beliau menambah bahawa prasarana baru tersebut akan mengukuhkan status pusat bandar itu sebagai sebuah “bandar 20 minit paling terhubung dengan baik” di Singapura dan meningkatkan kedudukan Tampines sebagai “pusat bandar yang mengutamakan rakyat”.
Istilah “bandar 20 minit” adalah antara sasaran di bawah pelan induk Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di mana semua perjalanan ke pusat kejiranan terdekat memerlukan masa perjalanan kurang 20 minit menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki.
Pelancaran pelan induk Tampines itu turut dihadiri AP GRC Tampines yang lain – Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; dan Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo.
Dr Charlene Chen, penasihat kedua badan akar umbi GRC Tampines, yang juga wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipaparkan di sepanduk bersama AP GRC Tampines lain, turut hadir melancarkan pelan induk itu.
Apabila ditanya Berita Minggu (BM) bila “pasar jalanan ala Osaka” di Pusat Bandar Tampines itu akan siap, Encik Choo, yang juga Pengerusi Majlis Bandaran Tampines, berkata “ia akan mengambil sedikit masa” dan penduduk akan dirunding secara meluas terlebih dahulu.
“Mulai tahun ini, kami akan mulakan dengan latihan konsensus yang bermaksud mengumpul maklum balas daripada penduduk tentang apa yang mereka mahu lihat.
“Kami melibatkan pelbagai agensi dalam latihan ini supaya mereka dapat mendengar daripada penduduk Tampines apa yang mereka inginkan dari pusat bandar baru itu.
“Adalah baik untuk kami bekerja secara kolektif, berunding secara meluas, dan melibatkan seramai mungkin penduduk.
“Ia sesuatu yang akan mengambil masa, tetapi akhirnya, saya fikir, akan berbaloi dengan masa dan usaha,” kata Encik Choo.
Menurut Majlis Bandaran Tampines, penduduk boleh menantikan jambatan berbasikal, laluan bawah tanah dan tambahan kepada laluan berbasikal sepanjang 7.7 km, yang akan menjadikan keseluruhan jarak laluan berbasikal bersambung kepada 40 km sebagai sebahagian daripada pelan induk lima tahun itu.
Penduduk Tampines juga boleh menantikan Hab Bersepadu Tampines Utara yang akan datang, lengkap dengan stesen MRT Tampines North baru yang menghubungkan ke Laluan Cross Island dan stesen pertukaran bas.
Jejambat Loyang yang bakal dibina juga akan mengurangkan keadaan lalu lintas dan meningkatkan aliran trafik, manakala peningkatan kepada rangkaian jalan raya dan kemudahan pengguna jalan raya akan memastikan perjalanan yang lebih lancar dan cekap, tambahnya.
Apabila ditanya BM sama ada beliau dan AP GRC Tampines sekarang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025, Encik Masagos berkata Perdana Menteri Lawrence Wong akan memutuskan perkara itu.
Mengulas tentang usaha yang dijalankan oleh AP GRC Tampines untuk membangunkan prasarana di Tampines buat penduduk sejak GE2020, Encik Masagos berkata:
“Semua pelan dan janji yang kami umumkan lima tahun dahulu, kesemuanya kami telah tunaikan. Tapi kami tidak berhenti di situ sahaja.
“Kami akan terus bekerja lebih keras lagi untuk meningkatkan kehidupan penduduk Tampines, selagi mana kami boleh berkhidmat,” kata Encik Masagos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg