Lelaki berusia 22 tahun yang berlari dalam keadaan telanjang di Hougang selepas mengelar seorang lelaki yang bersama anak lelakinya telah didakwa menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.
R. Nadhiban didakwa menggunakan pisau untuk mengelar Encik Kaalithasan Govindaragi pada kira-kira 1 petang pada 17 April di tempat letak kereta di kawasan lapang antara Blok 676 dengan Blok 677, Hougang Avenue 8.
Nadhiban diperintahkan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan kesihatan.
Kesnya akan dibicarakan semula pada 2 Mei.
Dalam kejadian itu, beberapa orang awam melihat seorang lelaki bogel menyerang seorang bapa, yang sedang bersama anak lelakinya berusia tiga tahun.
Mangsa berusia 30 tahun mengalami kecederaan di lengan dan dibawa ke hospital.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata kejadian itu mungkin menjadi lebih teruk jika tidak kerana campur tangan orang awam, Encik Shari Mohd, yang menyelamatkan mangsa dan anaknya daripada penyerang.
Selepas menyerang mangsa, lelaki bogel itu merosakkan sebuah kenderaan sebelum dia mengambil papan kayu berpaku dan menggunakannya untuk merosakkan sebuah bas yang tidak bergerak di Hougang Avenue 4.
Polis tiba tidak lama kemudian tetapi ketika mereka cuba menangkapnya, lelaki itu menyerang mereka dengan papan tersebut yang mengakibatkan tiga pegawai mengalami cedera ringan.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya berdepan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan sebat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg