Polis sedang menjalankan siasatan ke atas seorang lelaki berusia 23 tahun kerana didakwa terlibat dalam satu kes kenakalan melibatkan hiasan bunga bagi sambutan Hari Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan media pada 10 Ogos, polis berkata pihaknya menerima satu laporan sekitar 10.45 pagi pada 6 Ogos yang menyatakan bahawa hiasan bunga untuk sambutan Hari Kebangsaan, di sepanjang kawasan lapang Blok 404 Pandan Gardens, telah rosak dan disusun semula untuk membentuk perkataan lain.
Ini kemudian dipaparkan dalam satu video yang disiarkan dalam TikTok.
Melalui siasatan susulan, para pegawai daripada Divisyen Polis Clementi mengenal pasti identiti lelaki itu pada 11 Ogos.
Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu didakwa melakukan tindakan nakal itu dan juga dikatakan telah merakam dan memuat naik video tersebut ke TikTok.
Siasatan polis terhadap lelaki berusia 23 tahun itu sedang dijalankan.
Kesalahan bagi tindakan nakal boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan yang tidak bertimbang rasa seperti itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba merosakkan hiasan atau pameran awam yang melambangkan semangat kebangsaan kita,” kata kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg